Iskandar Berjaya ke Separuh Akhir Terbuka China, Akan Menentang Jan O Jorgersen Esok

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin menempah pertemuan separuh akhir Terbuka China menentang Jan O Jorgersen esok, apabila berjaya mengatasi pemain tuan rumah Qiao Bin pada aksi suku akhir, sebentar tadi.

Iskandar, 25, berada dalam kedudukan bahaya tersingkir selepas berhempas pulas di awal permainan sebelum bangkit menewaskan lawan 21-19, 21-7 dalam tempoh 45 minit.

Kejayaan itu harus lebih manis buat Iskandar kerana berjaya membalas dendam selepas ditewaskan Qiao Bin ketika saingan Terbuka Korea Selatan pada September lalu.

Terdahulu pada aksi di Pusat Sukan Olimpik Haixia, Fuzhou, Qiao Bin hampir meraih kemenangan apabila mendahului selesa 19-15 pada set pertama, namun tumpas gara-gara hilang fokus di hujung permainan.

Set kedua, nyata menjadi milik penuh Iskandar bermula daripada terikat 3-3, pemain perseorangan itu terus tidak menoleh belakang untuk mengatasi lawannya 21-7.

Ia menjadi pencapaian terbesar sepanjang karier pemenang empat gelaran antarabangsa itu kerana ini adalah kali pertama dia melangkah ke pentas separuh akhir kejohanan bertaraf Siri Super.

Pencapaian terbaik anak jati Johor itu setakat ini adalah muncul naib juara Grand Prix Emas Masters Malaysia pada awal tahun ini.

Sementara itu, Jan O Jorgensen yang bakal ditemui Iskandar esok menewaskan wakil China, Tian Houwei 14-21, 21-16, 21-14 dalam satu lagi aksi separuh akhir selepas itu.

Sumber: BH Online

Scroll to top