Kepala Zainal ‘Berlekuk’, Kaki Pula Bengkok


JEMPOL 17 Nov. - Seorang isteri kini terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk mengurus suami yang hilang upaya dan terlantar di katil selain memikul tanggung jawab mencari rezeki menyara keluarga.

Hasnaini Sanihim, 33, yang menetap di Kampung Gajah Mati, Bahau di sini mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas Zainal Saleh, 40, terlibat dalam kemalangan hampir lima tahun lalu.

“Suami saya terlibat dalam kemalangan langgar lari apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta ketika pulang membeli barang di kedai tidak jauh dari rumah kami.

“Akibat kemalangan itu, dia menganggung derita apabila ka­kinya bengkok dan sebahagian tempurung kepalanya rosak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, sejak kejadian itu, Zainal yang bekerja sebagai tukang paip tidak lagi mempunyai kudrat malah terpaksa menggunakan lampin pakai buang setiap hari.

Ujar Hasnaini, dia sekeluarga reda dengan ujian yang diberikan kerana percaya mungkin ada hikmah di sebaliknya kejadian yang menimpa.

“Suami juga bergantung kepada ubat sarat Musafen dan Epilim serta susu bagi mengganti makanan harian. Setiap hari, saya yang akan uruskannya sejak awal pagi,” katanya.

Hasnaini yang merupakan suri rumah sepenuh masa sebelum ini berkata, dia kini bekerja di warung makan berhampiran rumah bagi menampung kehidupan mereka bersama dua anak yang masih bersekolah.

“Pendapatan RM40 sehari tidak cukup untuk menanggung kos perbelanjaan suami kerana perlu membeli lampin pakai buang, susu dan tisu basah. Mujur ibu mentua dan abang ipar membantu,” katanya yang tinggal di rumah bersama ibu mertua, Lijah Ja’alan, 82.

Sambil menahan sebak, Hasnaini berkata, suaminya mempunyai peluang untuk pulih namun memerlukan sumber kewangan untuk menampung pembedahan pembetulan tempurung kepala yang mencecah ribuan ringgit.

Ditanya sama ada memohon bantuan daripada mana-mana mana pihak, dia membe­ritahu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan sebanyak RM300 sebulan.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank Hasnaini di Bank Simpanan Nasional bernombor 0510441000100985 atau menghubunginya di talian 019-6196740.

Sumber: Utusan Online

Scroll to top