Lelaki Didakwa Dera Anak Kekasih Dengan Beri Makan Nasi Berlauk Lipas Goreng, Pukul Dengan Pembaris Kayu



GEORGETOWN – Seorang jurutera kilang ditahan polis selepas dipercayai mendera anak teman wanitanya di Bukit Gambir di sini, hari ini.

Difahamkan, suspek ditahan kira-kira jam 1 pagi tadi untuk membantu siasatan.

Menurut sumber, lelaki berusia 36 tahun itu turut didakwa memberi mangsa makan nasi berlaukkan kicap dan lipas yang digoreng.

Sumber berkata, mangsa berusia lapan tahun itu mengalami lebam di kedua-dua belah tangan, dada dan belakang badan akibat dipukul suspek.

Suspek dikatakan menggunakan pembaris kayu untuk memukul mangsa.

Tambah sumber lagi, mangsa dipukul menggunakan pembaris kayu kira-kira 100 pukulan sehingga mengakibatkannya mengalami kecederaan teruk.

Difahamkan, kejadian itu hanya disedari Isnin lalu selepas mangsa dibawa ibunya menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Menurut sumber lagi, selepas membuat pemeriksaan, doktor berkenaan melaporkan kepada polis berhubung kejadian itu.

Selain penahanan suspek, polis turut merampas pembaris kayu sepanjang satu meter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

Mangsa dipukul sejak 1 November hingga 5 November lalu kerana didakwa terlalu nakal dan suka bercakap bohong,” katanya.

Dikatakan ibu mangsa hanya melihat kejadian itu dan menganggap suspek hanya mahu memberi pengajaran kepada anak kandungnya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan laporan tangkapan terbabit.

Menurutnya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen  31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Sinar Online

Carian yang berkaitan: