Lin Dan Akui Curang Ketika Isteri Hamil, Minta Maaf di Laman Media Sosial


BEIJING: Bintang sensasi China, Lin Dan, mengejutkan peminat sukan badminton dunia apabila mengakui mempunyai hubungan sulit ketika isterinya hamil.

Gambar dan klip video mesra Lin Dan bersama seorang wanita dimuat naik dalam laman sosial Weibo, hari ini. Sebuah klip video menunjukkan mereka berpelukan di dalam bilik sebuah hotel.

Gambar itu dimuat naik oleh 'Detective Zhao', penulis popular dalam Weibo mengenai gosip selebriti, yang mendakwa ia diambil pada Oktober lalu.

Isteri Lin Dan, Xie Xingfang, yang juga bekas bintang badminton melahirkan bayi lelaki sulung mereka di Beijing pada 5 November lalu.

Lin Dan dan Xingfang melangsungkan perkahwinan mereka pada 2012. Wanita dalam gambar berkenaan dikenal pasti adalah Zhao Yaqi, seorang model dan artis di China.

Lin Dan segera memohon maaf dalam laman sosial Weibo dan berkata: "Sebagai seorang lelaki, saya tidak mahu memberikan sebarang alasan tetapi tindakan saya sudah melukakan hati keluarga saya.

"Saya memohon maaf kepada mereka semua di sini." Lin Dan adalah juara dunia lima kali, selain pemenang pingat emas Sukan Olimpik sebanyak dua kali. - AGENSI

Sumber: BH Online

Scroll to top