Mereka ( Luar Negara) Boleh Terima Filem Pekak, Tapi Bukan Penonton Tempatan

Selepas dijulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Pekak di International Motivational Film Festival-Bridge of Arts 2016 (IMF) yang berlangsung di Russia Ogos lalu, tumpuan aktor Zahiril Adzim kini tentunya mahu diiktiraf di negara kelahiran sendiri.

Image result for Zahiril Adzim

Kali terakhir bakat jejaka berusia 32 tahun itu diiktiraf di bumi Malaysia pada 2009 menerusi kategori Pelakon Harapan Lelaki Terbaik dalam filem Kami: The Movie pada Festival Filem Malaysia ke-23.

Sejak itu, belum ada sebarang anugerah diterimanya meski mempunyai bakat besar dalam gelanggang seni lakonan.

Tidak pernah terdetik rasa terkilan atau kecewa, Zahiril bagaimanapun menganggap masih ramai lagi pelakon lelaki berbakat besar yang perlu diiktiraf. Tambahan pula, dia juga akui tidak mempunyai keyakinan dalam setiap lakonannya.

“Saya tidak pernah terkilan kerana saya sedar lakonan saya masih teruk. Sebenarnya ramai lagi pelakon lelaki yang berbakat besar. Kadang-kadang orang marah juga kenapa saya tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam setiap lakonan tetapi saya memang begitu sejak dulu.

“Lagipun pelakon yang berada di sekeliling saya semuanya hebat dan mereka lebih layak meraih anugerah. Kadang-kadang saya terfikir saya sudah memberikan yang terbaik dalam setiap lakonan saya, tetapi entah mengapa saya berasakan lakonan masih sama. Barangkali mungkin sebab tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi terhadap lakonan ,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya ketika dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di IMF 2016, Zahiril nyata bersyukur, namun pada masa sama terbit rasa sedih apabila filem yang mengangkat namanya itu tidak diterima baik oleh penonton tempatan.

“Syukur ke hadrat Ilahi, tetapi saya tidak menyangka mereka memilih saya dalam kategori itu. Namun apa yang membuatkan saya terkilan adalah apabila penonton tempatan susah untuk menerima cerita itu.

“Saya jadi tidak seronok apabila melihat orang luar pula yang menerima filem itu. Saya tidak marah tetapi sedih kenapa kita perlu menutup realiti sebenar yang berlaku pada hari ini. Filem itu memaparkan senario terhadap golongan remaja yang kita sendiri perlu lalui dan melihat depan mata,” katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem terbaharu terbitan Bront Palarae berjudul One Two Jaga.

Menariknya mengenai filem itu, ia memaparkan kisah gejala rasuah yang berlaku di Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Filem ini mendapat sokongan penuh daripada PDRM. Sepanjang menjalani penggambaran filem ini, kami dipantau oleh pegawai dari Bukit Aman.

“Terus terang saya seronok berlakon dalam filem ini dan akui terkejut apabila PDRM melepaskan filem ini untuk menjalani penggambaran,” ujarnya.

Sengaja menebak soalan mengenai kehidupan peribadinya bersama isteri tercinta, Shera Ayob dan permata hatinya, Nadi Anaqi, 3, Zahiril memberitahu dia teringin menambah cahaya mata lagi.

“Secara peribadi saya nak tambah anak selepas melihat rakan yang seangkatan saya sudah memasuki anak yang kedua,” katanya.

Carian yang berkaitan: