Suami Isteri Disyaki Culik Bayi Lima Hari Di Hospital Ditahan

98 views

Kota Bharu: Polis menahan suami isteri disyaki menculik bayi perempuan yang baru lima hari dilahirkan di Hospital Tanah Merah (HTM), di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan tengah malam tadi di rumah di Selising, Pasir Puteh.

“Sebelum itu, kira-kira 9.30 malam, kami menerima maklumat berlaku kehilangan bayi perempuan di HTM yang disedari ibu bapa bayi itu, Mohd Ihtisyamuddin Mohd Ashri, 29, dan Situ Norbaiti Bahanaharing, 26.

“Sepasukan pegawai dan anggota dihantar ke lokasi dan siasatan awal mendapati bayi berkenaan didaftar keluar oleh suami isteri pada petang hari kejadian.

“Susulan itu, siasatan lanjut dibuat termasuk lakaran gambar pasangan yang mengambil bayi berkenaan. Kita kenal pasti mereka berada di Selising, Pasir Puteh, kira-kira 10 malam,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suzaimi berkata, pihaknya juga mendapatkan bantuan Ketua Balai Polis Selising untuk mengesan suspek dan bayi berkenaan di rumah terbabit.

“Pasangan itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tanah Merah tengah malam tadi, manakala bayi diserahkan kepada ibu bapanya selepas pengecaman dibuat serta berada dalam keadaan sihat.

“Suspek ditahan reman bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksan kerana menculik,” katanya.

Difahamkan suspek mengaku mengambil bayi itu yang disangka anaknya, malah turut menipu mengatakan ada mendapatkan rawatan kelahiran di HTM.

Carian yang berkaitan: