Ustaz Kazim Elias Stabil, Keluarga Kecewa Tindakan Pihak Tidak Bertanggungjawab Sebar Berita Palsu

Ipoh: Orang ramai dinasihatkan agar tidak memviralkan berita tidak sahih mengenai keadaan penceramah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias yang sedang menerima rawatan di hospital swasta di sini, kerana tidak sihat, semalam.

Abangnya, Datuk Mohd Najmudin Elias berkata, Ustaz Kazim berada dalam keadaan stabil dan sudah dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan endiskopi pada jam 11.30 pagi tadi.

Katanya, dia bersama ahli keluarga lain sedih dan kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu mengenai Ustaz Kazim disihir, nazak, malahan sudah kembali ke rahmatullah.

“Saya meminta mana-mana pihak sama ada musuh mahupun rakan kepada Ustaz Kazim agar menghentikan spekulasi mengenai keadaan adik saya ini.

“Doktor akan memberitahu keputusan pemeriksaan pada petang ini dan saya akan sentiasa memberitahu pihak media untuk sebarang perkembangan lanjut,” katanya ketika ditemui di Pusat Pendidikan Al-Baraqah di sini hari ink.

Semalam, Ustaz Kazim dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini selepas mengadu sakit perut serta mengalami muntah, cirit birit dan penat luar biasa.

Sumber: Harian Metro

Carian yang berkaitan: