Video Dah Makan Ke Belum? : ‘Saya Ingat Pesan Ayah, Mudah Kasihan Nampak Orang Susah’ – Polis Bantuan

Kuala Lumpur: “Saya jenis yang mudah rasa kasihan dan lemah sekiranya ternampak orang susah yang mungkin sedang kelaparan.

“Tak sangka pula video itu viral kerana saya tidak sedar dirakam dan niat saya memang ikhlas dan bukannya mahu menunjuk sebab saya nampak dia sedang cari sesuatu dalam tong sampah.”

Demikian kata Mohd Shafiq Harun, 20, selepas rakaman dia membelikan makanan untuk kanak-kanak warga asing di stesen minyak di Bandar Baru Ampang viral di Facebook (FB).

Video dirakam dan dimuat naik rakan wanitanya, Qkhazatul Ayuni Abdul Razak, 20, ke akaun Facebooknya kemudian dimuat naik sekali lagi oleh pengguna FB, Raja Mohd Shahrim sehingga ditonton lebih 1.4 juta kali.

“Ketika saya ingin mengisi minyak Isnin lalu pada 8.15 malam, saya nampak dia di belakang kereta, tak tahu dia ingin cari apa.

“Kemudian saya nampak dia kutip tin dan bekas minuman dalam tong sampah dan masukkan ke dalam guni yang dia bawa.

“Dia tidak faham Bahasa Melayu, tapi saya suruh dia tunggu sebentar sebelum saya masuk ke stesen minyak dan belikan dia roti, biskut dan air minuman,” katanya yang bekerja sebagai polis bantuan.

Mohd Shafiq berkata, dia mudah tersentuh dengan situasi seperti itu kerana sentiasa berpegang kepada kata-kata bapanya.

“Ayah saya pernah cakap, kalau mahu hidup senang kita perlu keluarkan duit dan bukannya kumpul duit. Jadi saya faham maksudnya adalah bersedekah.

“Kadang-kadang masa saya bertugas pun saya cuba bersedekah dan beri apa yang saya mampu,” katanya.

Sementara itu, Qkhazatul Ayuni yang bekerja sebagai guru tadika berkata, dia pada awalnya tidak tahu Mohd Shafiq ingin membelikan makanan kepada kanak-kanak berkenaan.

“Semasa dia (Mohd Shafiq) masuk ke dalam untuk beli makanan, kanak-kanak itu macam mahu pergi tetapi saya tahan dia.

“Saya ingatkan makanan itu untuk kami, kemudian saya saja rakam dan baru saya tahu dia beri kepada kanak-kanak itu,” katanya.

Sehingga berita ini ditulis, video berkenaan yang dimuat naik di FB Raja Mohd Shahrim dikongsi lebih 32,000 kali dan mendapat 5,689 komen yang semuanya memuji sikap Mohd Shafiq.

Incoming search terms:

loading...
loading...