Jika Berada Di Turki, Elakkan Dari Melakukan 11 Perkara Ini Untuk Tujuan Waspada

Turki sememangnya popular dalam kalangan para pelancong, mana tidaknya, ianya sebuah negara yang mana berada dalam dua benua, iaitu Asia dan Eropah. Terdapat juga filem yang popular pada suatu masa dahulu seperti Istanbul Aku Datang, yang sekaligus memberi gambaran akan Turki kepada kita.

Namun, bukan itu yang admin ingin kongsikan, tetapi lebih kepada pantang larang yang harus diketahui, ketika ada menjejakkkan kaki ke Istanbul. Ia memberi ruang kepada anda, dalam menghormati budaya, juga cara mereka di sana.

Berdasarkan dari laman Aku Dan Istanbul, terdapat beberapa perkara yang anda perlu elakkan jika berada di Istanbul. Jom kita tengok, 11 perkara yang menjadi pantang larang buat anda, juga pelancong yang lain.

Jangan lakukan beberapa perkara ini jika ada ke Istanbul. Ini adalah pengalaman admin (Aku Dan Istanbul) selama 3 tahun duduk di Istanbul. Ini adalah kes-kes terpencil sebabnya selama 3 tahun duduk di Istanbul kes-kes begini admin dengar dan alami tidak sampai pun 4,5 kali.

Post ini ada untuk tujuan waspada, bukan kata Turki ni tidak selamat. Aduhaii, jika nak tahu di Turki ini hampir tiada kes ragut, seluk poket, gangguan seksual, simbah asid, rompakan dan lain-lain.

1. Jangan kutuk Ataturk di tempat awam

Turki ada undang-undang bagi sesiapa yang kutuk Kamal Ataturk, boleh dipenjarakan.

2. Jangan lupa semak bayaran baki, jika beli di kedai tepi-tepi jalan

Bila peniaga Turki beri baki tolong semak dulu. Jangan main jalan sahaja. Beberapa kes telah berlaku kepada saya dan peserta trip. Nanti peniaga tu cakap ‘tak perasan’ duit baki tidak cukup. Tetapi jika anda orang kaya nak sedekah apa salahnya

3. Jangan guna ‘the power of hand’ jika mahu melintas jalan di Turki

Tidak kira anda bawa stroller baby atau bawa orang tua pakai tongkat, jangan lintas jalan sebelum waktunya seperti di Malaysia.

Jangan tunjuk tangan kononnya nak tahan kereta nak lintas jalan, silap-silap anda kena hon dan kena marah.

4. Jangan ikut jika ada orang ajak minum-minum

Modus operandi scammer di Istanbul. Ini yang paling banyak saya pernah dengar. Bila dah minum sama-sama anda akan diminta bayar. Tahukah, anda akan dicaj harga untuk minum kopi sebanyak USD500 !

5. Jangan berkaki ayam dari tempat wuduk ke tempat solat

Biasa orang Malaysia buat. Orang Turki amat pentingkan kebersihan. Jika dah ambil wudhu lepas tu jalan kaki ayam ke dalam masjid, tu maksudnya kaki anda sudah kotor. Nanti kena marah dengan pakcik-pakcik Turki. Ayok.

6. Jangan buka dompet depan orang-orang yang jual di tepi jalan

Bila jalan-jalan di Bazaar di Istanbul, akan ada orang-orang mendekati anda nak jual buku, jaket dan macam lagi. Pernah jadi ada pelancong buka dompet depan orang-orang tu, kemudian orang tu tengok dompet penuh dengan duit USD, dia ambil duit tu dan lari.

7. Jangan datang kurang 3 jam ke lapangan terbang dari jadual penerbangan

Airport Ataturk Istanbul sangat sensitif atau ketat sekarang. Jika mereka dapat laporan atau dapati perkara yang mencurigakan, mereka akan tahan setiap kereta yang nak masuk airport. Akibatnya jalan jammed.

Pihak airline tidak akan bertanggungjawab jika ada kata anda lambat sebab polis airport buat anda terlambat

8. Jangan layan jika ada pasangan Arab minta tengok bentuk duit Malaysia

Scammer ini sudah dua kali saya kena. Tetapi saya dah tahu modus operandi mereka. Pasangan arab akan mendekati anda kemudian cerita mereka akan ke Malaysia. Mereka nak tengok bagaimana rupa duit Malaysia.

Sebaik ada buka dompet depan mereka, percayalah duit anda telah pun hilang sekeping dua. Tidak tahu betapa lajunya tangan mereka buat kerja

9. Jangan buka makanan Malaysia di dalam pengangkutan awam

Orang Turki sensitif bau-bau makanan asia ni terutamanya Nusantara. Ada yang gelarkan makanan Malaysia ni seperti stokin busuk

Janganlah pergi makan dalam pengangkutan awam mereka. Saya sendiri pernah kena halau dari teksi kerana bawa makanan berminyak. Bawa je pun dah kena halau

10. Jangan sibuk main telefon jika naik teksi atau tukar duit di pengurup wang

Jika anda sibuk main telefon bimbit sewaktu naik teksi, anda tidak perasan pemandu teksi tersebut tidak ON kan meter teksi. Akibatnya mereka caj ikut suka mereka.

Jika sibuk main telefon bimbit ketika nak tukar duit, kadangkala anda tidak perasan duit tukaran yang diberi tidak cukup. Bila anda perasan tidak cukup selepas itu, pengurup wang tersebut akan cakap anda beri wang sekadar itu sahaja. Sedangkan anda beri lebih dari yang pengurup wang itu beritahu.

11. Jangan petik bunga

Jika musim bunga tulip (April) dan ros (Mei) ramai yang tanya, boleh ke nak petik bunga-bunga tu. Jika semua orang petik habislah bunga-bunga tu semua.

Cukuplah tengok dan ambil gambar sahaja ya, jika orang petik bunga di rumah kita pun kita marah kan.

Inilah perkara yang anda seharusnya peka jika berada di Istanbul, bukan apa takut anda akan mengalami masalah, atau mengganggu penduduk tempatan. Moga-moga dengan perkongsian ini, dapat membantu anda ketika berada di Istanbul. – Siakap Keli

Carian yang berkaitan: