Konsert Exists di Singapura


Exists Singapore


Pada 2 Disember lalu hampir empat tahun tidak bersama, Singapura menjadi tempat bersejarah untuk anggota Exists berkumpul menghiburkan peminat setia mereka di sana.

Membanggakan apabila tiket konsert Exists bertemakan #Throwback yang berlangsung di The Pavilion, FarEast Square habis dijual. Ia membuktikan Exists masih diminati apabila hampir 3,000 memenuhi dewan konsert menyaksikan Ezad dan rakan.

Berkongsi mengenai gabungan semula kumpulan Exists untuk konsert di Singapura itu, Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim akui tawaran datang pada saat akhir apabila promoter menghubungi Ujang.

Katanya, Ujang selaku pemain dram berusaha menghimpunkan Along (gitar) dan Musa (bass) dalam tempoh tidak sampai dua bulan. Sesi latihan untuk konsert pula hanya dilakukan dalam tempoh dua minggu.

“Sayang kerana tawaran mengejut bersama tarikh yang sudah ditetapkan membuatkan beberapa anggota asal Exists tidak dapat menjayakan konsert #Throwback terutama Ajai yang terikat dengan komitmen lain.

“Saat kami membuat persiapan mengadakan latihan, Ajai sibuk dengan tugas untuk program 3 Juara,” katanya.

Apa pun, Ezad gembira kerana sekurang-kurangnya konsert Exists di Singapura dapat mengubat kerinduan peminat dan sesama anggota Exists yang sudah lama tidak bersama untuk mengadakan persembahan.

“Sebelum ini ada perancangan mengadakan konsert di Istana Budaya bersama dua lagi group rock ‘otai’ iaitu May dan Blues Gang untuk Blue Jeans Concert.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu apa masalahnya apabila penganjur menunda konsert yang dirancang. Malah tarikh baru tidak diberikan hingga kini.

“Saya sendiri berasa rindu untuk mengadakan persembahan bersama anggota Exists lain. Kali terakhir kami bergabung sewaktu mengadakan konsert bersama Wings di Hard Rock Cafe, Melaka.

“Exists sendiri sudah lama tidak mengadakan konsert solo dan biasanya kami akan bergabung dengan kumpulan lain,” katanya.

Kata Ezad, pada peringkat awal pihak penganjur di Singapura hanya mahu mengadakan showcase Exists dan ia dibuat dalam skala kecil tetapi apabila pengumuman mengenainya dibuat, permintaan sangat memberangsangkan.

“Melihat sambutan itu, penganjur membuat keputusan untuk mengadakan konsert. Lebih lagi senarai lagu banyak dan tiket yang dikeluarkan habis dijual.

“Walaupun masa suntuk untuk kembali bergabung dan mengadakan latihan, kami bertuah kerana setiap anggota Exists masih aktif dan pakar dalam bidang masing-masing.

“Cuma saya yang tidak bersama mereka harus mencari keserasian semula. Pada peringkat awal memang ada terasa kekok tetapi selepas beberapa lama perkara itu tidak lagi menjadi masalah.

“Lagipun dalam waktu sama, saya berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk tahap kesihatan kurang baik. Apabila sudah kembali pulih, saya harus kembali bersenam perlahan-lahan untuk membina stamina. Makan juga harus dijaga,” katanya.

Ezad juga akui di awal penampilannya di atas pentas, komunikasi bersama peminat tidak lancar. Begitupun perkara itu dapat ditangani apabila dia mula menyanyi beberapa lagu lama yang mengimbau nostalgia peminat mahupun anggota Exists sendiri.

Kata Ezad, sebagai penyanyi yang pernah bersama kumpulan legenda seperti Exists, dia sangat berharap agar kejayaan konsert di Singapura itu menjadi titik permulaan untuk mereka merangka satu konsert mega di tanah kelahiran sendiri. - HMetro

“Saya yakin konsert Exists boleh dilakukan di sini seperti mana di Singapura kerana penyokong kumpulan itu masih lagi besar dan kuat.

“Malah kalau penganjurannya disusun baik, kita boleh menggabungkan semua anggota yang pernah menganggotai Exists seperti Mamat, Shah mahupun Joey.

“Entahlah, pada saya apabila kami mengadakan konsert tanpa beberapa anggota asal lain, ia seperti tidak sempurna,” katanya.

Pada konsert itu, penyanyi baru, Khai Bahar turut membuat penampilan istimewa. Selain membuat persembahan pembukaan, Khai turut bergabung bersama Ezad mendendangkan lagu terbaru Ezad yang kini digilai ramai, Demi Cinta.

Turut menghangatkan konsert, Mamak Puteh dan Jaly yang pernah menyertai program Skool of Lawak bergabung bersama pengacara popular Singapura, Abie Salleh mengendalikan konsert.

Scroll to top