Membuat Keputusan Untuk Membeli Rumah Dengan Pemaju Hartanah, 5 Perkara Ini Wajib Anda Lakukan Terlebih Dahulu

Kes penipuan atau penyelewengan dakam urusan jual beli boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, juga dalam apa jua urusan pembelian. Suspek akan mencari mangsa yang dilihat seperti sangat memerlukan sesebuah urusan itu mempunyai kejayaan dalam memilikinya.

Begitu juga dengan pemaju-pemaju hartanah yang mana berselindung dengan nama pemaju, tetapi niat sebenar hanya untuk menipu mangsa mereka. Jika dilihat, mana mungkin pemaju yang menjual aset besar seperti itu, boleh melakukan penipuan kerana mereka boleh sahaja dikenali oleh orang ramai, dan mudah untuk dicari jika telah terbongkar perbuatan tersebut.

Berdasarkan dari apa yang dikongsikan oleh saudara Salkukhairi Abd Sukor, terdapat 5 perkara utama yang anda perlu lakukan jika membeli rumah dari sebuah pemaju hartanah. Dan ianya boleh menjadi sebagai cara untuk mengetahui sama ada anda boleh mempercayai pemaju tersebut, atau sebaliknya. Mari kita ikuti perkongsiannya.

5 PERKARA YANG ANDA WAJIB LAKUKAN SEBELUM BELI RUMAH DENGAN PEMAJU

Membeli hartanah bukanlah semudah membeli barang di kedai runcit. Ada prosedur penting yang perlu anda tahu sebelum membeli rumah dengan pemaju.

Di sini saya senaraikan 5 checklist penting yang anda kena lakukan sebelum membuat keputusan membeli sesuatu rumah dengan pemaju.

1. Lakukan Carian Tentang Syarikat Pemaju

Sebelum anda putuskan untuk membeli rumah dengan sesebuah syarikat pemaju, selidik dahulu latar belakang pemaju tersebut. Cuba dapatkan sedikit gambaran tentang syarikat tersebut. Saya amat galakkan anda untuk membuat carian syarikat (company search) untuk mengetahui maklumat-maklumat penting tentang syarikat tersebut.

Melalui carian syarikat, anda boleh mengetahui tentang status syarikat tersebut sama ada ia syarikat berdaftar ataupun tidak, sama ada ia masih aktif, dan tidak digulungkan (wound-up) atau sebaliknya.

Anda juga boleh tahu bilakah syarikat tersebut ditubuhkan dan adakah syarikat tersebut didaftarkan sebagai syarikat yang menjalankan perniagaan pemajuan hartanah ataupun tidak (kerana banyak syarikat yang buat bisnes hartanah, tetapi sebenarnya syarikat tersebut tidak pun didaftarkan sebagai syarikat yang mana perniagaannya adalah pemajuan hartanah).

Melalui carian syarikat juga anda boleh mengetahui siapakah pemegang saham syarikat tersebut, ahli lembaga pengarah dan juga modal berbayar (paid-up capital) serta untung rugi syarikat tersebut. Maklumat tersebut dapat memberi gambaran awal kepada anda, tentang sejauh manakah establishnya serta kemampuan syarikat tersebut untuk memajukan sesuatu projek hartanah.

Kalau syarikat yang modal berbayarnya (paid-up capitalnya) hanyalah RM2 atau baru seminggu didaftarkan, bagaimanakah anda boleh meyakini ia mampu melaksanakan satu projek perumahan yang melibatkan 100 unit buah rumah misalnya. Bagi saya gambaran awal sebegitu amat penting dalam kita menilai sesuatu.

2. Semak Pengalaman Dan Track Record Pemaju

Saya amat menyarankan anda membuat semakan tentang pengalaman dan track record pemaju tersebut dalam bidang hartanah, dan berapa banyakkah projek perumahan yang pemaju tersebut telah bina dan siapkan.

Caranya adalah dengan menghubungi Bahagian Perlesenan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengetahui tentang pengalaman syarikat tersebut dalam bidang hartanah.

Melalui semakan tersebut anda boleh tahu:

Berapa banyakkah projek perumahan yang mereka telah bina dan siapkan dengan sempurna?
Berapa banyakkah projek perumahan mereka yang lewat atau terbengkalai?
Adakah pemaju atau mana-mana ahli lembaga pengarahnya pernah disabitkan dengan apa-apa pertuduhan atau kesalahan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan)?
Adakah pemaju tersebut pernah kena black list oleh kementerian?

Dan lain-lain maklumat yang berkenaan lagi

Melalui maklumat tersebut juga anda dapat membuat penilaian sejauh manakah bersihnya track record syarikat pemaju tersebut. Kalau anda sudah mengetahui yang syarikat tersebut ada projeknya pernah terbengkalai dan bermasalah, eloklah jangan ambil risiko untuk membeli hartanah yang dibina olehnya.

3. Semak Status Lesen Pemajuan Perumahan Pemaju

Sila semak juga dengaan kementerian sama ada pemaju tersebut telah memperoleh lesen pemajuan perumahan serta permit iklan dan jualan atau tidak untuk sesuatu projek perumahan yang didirikan tersebut.

Lesen pemajuan perumahan dan permit iklan dan jualan ini perlu diperolehi oleh mana-mana syarikat pemaju, sebelum mereka boleh memulakan pembinaan sesuatu projek perumahan dan menawarkannya untuk jualan kepada orang ramai.

Adalah satu kesalahan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) bagi mana-mana pemaju yang gagal mendapatkan kelulusan lesen dan permit tersebut.

Biasanya syarikat yang telah memperolehi lesen pemajuan perumahan dan permit iklan dan jualan ini, mereka dikehendaki menulis, dan memaparkan nombor lesen dan permit tersebut dalam setiap notice board atau pampalet/ broucher yang mereka keluarkan.

Walaubagaimanapun, untuk pengesahan, sila semak dengan kementerian tentang nombor lesen pemajuan dan permit iklan dan jualan tersebut sama ada ianya benar-benar telah diluluskan dan sah (valid).

4. Minta Salinan Geran Hartanah Daripada Pemaju

Setelah anda meyakini yang syarikat tersebut benar-benar berpengalaman dan kukuh dalam melaksanakan sesuatu projek perumahan, bolehlah anda berurusan dengan mereka untuk mengetahui maklumat terperinci tentang rumah yang anda ingin beli tersebut.

Satu perkara yang saya ingin ingatkan, sebelum anda putuskan untuk membeli rumah tersebut, macam biasa, sila minta salinan geran rumah tersebut daripada pemaju, dan lakukanlah carian persendirian di pejabat tanah. Sila minta minta daripada pemaju salinan Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan untuk projek tersebut sebagai pengesahan.

5. Fahami Terma-terma Penting Dalam Perjanjian Jual Beli Sebelum Menandatanganinya

Jika anda telah berpuas hati dengen keadaan fizikal, status tanah, harga dan lain-lain berkenaan hartanah tersebut, barulah anda memasuki perjanjian jual beli dengan pemaju. Jangan sama sekali anda tergesa-gesa untuk tanda tangan perjanjian jual beli selagi anda masih belum berpuas hati dengan hartanah tersebut.

Masa inilah anda boleh bertanya, minta dan clarify apa sahaja dengan pemaju. Kerana setelah anda menandatangani perjanjian jual beli kelak, anda dianggap telah terikat dengan terma-terma perjanjian jual beli tersebut dan kebiasaannya, pemaju pun sudah agak kurang minat untuk melayan anda, sebab mereka sudah berjaya mengikat anda.

Seboleh-bolehnya, baca dan cuba fahami terma-terma penting yang terdapat di dalam perjanjian jual beli sebelum anda menandatanganinya. Tanyakan apa sahaja tentang terma perjanjian jual beli tersebut kepada peguam yang telah dilantik.

Sesetengah Pemaju akan minta anda menandatangani perjanjian jual beli tersebut di hadapan mereka. Sebenarnya, anda berhak untuk minta, agar perjanjian jual beli tersebut ditandatangan di hadapan peguam, supaya anda boleh bertanyakan apa sahaja berkaitan perjanjian jual beli tersebut kepada peguam. Setelah anda betul-betul berpuas hati, barulah anda tandatangan perjanjian jual beli tersebut.

Oleh;

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

– Siakap Keli

BACA: 5 Kos Ini Yang Anda Perlu Ambil Tahu Sebelum Membuat Keputusan Untuk Membeli Rumah

Carian yang berkaitan: