Program Ulama Nusantara Di TV3

127 views
Ulama Nusantara TV3

Ulama Nusantara (TV3) program travelog dokumentari,  mendapat tontonan tertinggi di Indonesia sejak ia ditayangkan di saluran MetroTV, Jakarta pada Oktober lalu.

Program 13 episod yang mengisahkan sejarah Islam itu diterbitkan Primeworks Studios dengan kerjasama Jabatan Pengajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM).

Program berkenaan turut membabitkan pengkaji dari tiga universiti terkemuka Indonesia iaitu Universitas Islam Negeri(UIN) Syarif Hidayatullah, Jakarta; Universitas Islam Negeri (UIN) Imam Bonjol, Padang dan Universitas Islam Negeri (UIN) Ar Raniry, Banda Aceh.

Penerbit Eksekutif dan pengacaranya, Zainal Arifin Ismail ketika dihubungi berkata, dia gembira dan tidak menyangka program berkenaan berjaya mendapat tempat dalam kalangan penonton di sana.

“Tidak sangka cabaran dan dugaan ketika menghasilkan program ini membuahkan hasil.

“Tidak saya nafikan pada peringkat awal mahu memperkenalkan program ini kepada stesen tv berkenaan, banyak halangan dan mereka seperti kurang berminat. Namun, selepas ditayangkan tidak sangka jumlah penonton kian meningkat pada episod pertama hingga keempat dan berjaya meraih jumlah penonton yang tinggi,” katanya.

Ulama Nusantara berjaya berada dalam senarai lima rancangan televisyen paling banyak mendapat tontonan dalam slot tayangannya, berbanding 15 lagi stesen televisyen tempatan dan nasional.

Episod kedua dokumentari itu berjaya meraih 859,000 jumlah tontonan di bandar-bandar di bawah pantauan Nielsen seperti Jakarta, Bandung, Yogyakarta, Medan, Makassar, Palembang, Semarang, Surabaya, Denpasar, Banjarmasin dan Surakarta.

Program ini membawa penonton ke beberapa lokasi yang menjadi tapak kerajaan Islam purba di Nusantara serta menjejaki dan mengimbau kembali kisah-kisah cendekiawan atau ulama tersohor rantau ini pada awal penyebaran Islam.

Mengambil masa selama tiga tahun untuk dihasilkan, dokumentari ini menjelajah ke enam buah negara termasuklah Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Mesir dan Turki.

Ulama Nusantara masih lagi ditayangkan di Indonesia menerusi MetroTV, setiap hari Ahad jam 2.30 petang (WIB) dan di Malaysia, menerusi TV3 pada setiap Selasa, jam 5.30 petang. – HMetro

Carian yang berkaitan: