SK Tunku Budriah, Arau, Perlis – Cikgu Dina Pakai Prada

251 views

Telefilem Cikgu Dina Pakai Prada yang disiarkan Isnin lepas menerusi Slot Skrin di 9 (TV9) jam 8.30 malam berjaya menarik perhatian guru besar Sekolah Kebangsaan Tunku Budriah, Arau, Perlis.

Video Cikgu Dina Pakai Prada.

Pengarah telefilem itu, Fadzil Teh berkata, dia dihubungi guru besar sekolah berkenaan baru-baru ini yang memaklumkan telefilem itu memberi memberi inspirasi kepada guru di sekolah terbabit.

“Menurut guru besar sekolah itu yang menjadi lokasi utama telefilem ini, watak Cikgu Dina lakonan Ruhainies berjaya dalam membantu teknik pembelajaran kreatif di sekolahnya.

“Dalam cerita ini, Cikgu Dina yang juga guru sandaran di sekolah itu mengajar menggunakan pendekatan menyanyi dalam Bahasa Inggeris dan berjaya membantu budak yang lembab dan pendiam kembali bercakap,” katanya.

Fadzil berkata, pihaknya juga sangat berpuas hati dengan maklum balas positif penonton terhadap telefilem itu walaupun skripnya hanya diperolehi dua hari sebelum penggambaran bermula.

“Saya menyukai keserasian Ruhainies dan Redza Rosli selaku teraju utama cerita ini. Begitu juga penampilan Rozita Che Wan yang memantapkan lagi jalan cerita walaupun hanya sehari saja dia terbabit dengan penggambaran.

“Insya-Allah, ada kesinambungan pula selepas ini iaitu Cikgu Dina ke Paris Belajar Fesyen,” katanya.

Telefilem Cikgu Dina Pakai Prada terbitan Zeel Production Sdn Bhd turut menampilkan lakonan Jaja Iliyes dan Hanis Nabilah.

Ia menceritakan mengenai Dina, graduan fesyen yang suka berangan-angan menjadi selebriti, hidup mewah dan memakai pakaian mahal.

Ibunya memarahi Dina kerana tidak mahu bekerja dan hanya menghabiskan duit keluarga. Sehinggalah suatu hari Dina mendapat surat tawaran menjadi guru sandaran.

Atas desakan ibunya, Dina akur walaupun dia tidak bersedia menjadi tenaga pengajar apatah lagi perlu bertugas di luar bandar. – HMetro

Carian yang berkaitan: