Sultan Kelantan Diisytihar Agong Ke-15 Esok

624 views

KUALA LUMPUR – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V akan diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam satu istiadat mengikut tradisi Kesultanan Melayu yang bakal dilangsungkan di Istana Negara esok.

Upacara sambutan tersebut dijadual bermula dengan istiadat keberangkatan tiba Sultan Muhammad V di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9 pagi.

Keberangkatan tiba Sultan Kelantan, 47, akan disambut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas sambutan serta isteri, Datin Seri Raya Erom.

Rombongan diraja kemudian akan berangkat ke Dataran Parlimen bagi acara sambutan rasmi sebelum menuju ke Istana Negara bagi majlis angkat sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan yang akan dihadiri semua Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri serta jemaah menteri.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan esok ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-dua baginda dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-243 (Khas) pada Oktober lepas, dan akan menduduki takhta bagi tempoh lima tahun bermula esok.

Upacara sambutan dan pengisytiharan Seri Paduka Baginda akan disiarkan secara langsung melalui saluran TV1, Radio dan Televisyen Malaysia.

Sumber: Sinar Online

Carian yang berkaitan: