(Video) Perompak Bersenjatakan Senapang Patah, Kapak & Tukul Besi Bawa Lari Lima Dulang Barang Kemas

Bagan Serai: Kecoh di Pusat Bandar Bagan Serai hari ini apabila empat perompak bertopeng bersenjatakan senapang patah, kapak dan juga tukul besi menyaum sebuah kedai emas di Jalan Sepakat di sini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 11.35 pagi itu, keempat-empat suspek dipercayai menaiki kereta Proton Wira itu berjaya melarikan lima dulang barang kemas.

Pemilik kedai emas terlibat, Fong Kok Heng, 51, berkata kejadian itu berlaku ketika dia bersama isteri serta anak dan seorang pekerja sedang membuka kedai.

Ketika menyusun barang kemas, kereta yang dinaiki suspek tiba-tiba berhenti di depan kedai dan empat lelaki memakai topeng keluar dari kenderaan terbabit.

"Terkejut dengan kehadiran suspek, saya segera menekan loceng kecemasan sebelum berlari masuk ke dalam premis bersama yang lain untuk menyelamatkan diri.

Ketika bersembunyi, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan disusuli bunyi cermin ruang pameran dipecahkan keempat-empat suspek sebelum mereka melarikan lima dulang barang kemas," katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Kejadian disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob  dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk nilai kerugian dialami pemilik premis itu.

[embedded content]
loading...
loading...