5.3 Juta Kali Ditonton Diseluruh Dunia, Mekanik Dedah Hanya Keluar Modal RM50 Bolehkan Honda C70 Miliknya 'Menyelam'

Sejak minggu lalu kami ada memuatnaik sebuah video yang menjadi tular dikalangan netizen di Malaysia dan bahkan turut dikongsi oleh ramai pengguna Facebook dari pelbagai negara di seluruh dunia.

Video berkenaan memaparkan aksi Mohd Faizol Lokman,30, dan kakaknya Khazuraimi Lokman, 35, menaiki sebuah motosikal yang diubahsuai untuk mengharungi banjir sedalam satu meter tanpa sebarang masalah.

Video itu juga telah ditonton kira-kira 5.3 juta kali dan dikongsi hampir 120,000 orang yang ternyata ramai kagum dengan bakat Faizol mengubahsuai motosikal Honda C70 berkenaan.

Beliau yang merupakan seorang mekanik dari Kampung Gerung, Jertih, Terengganu mendedahkan hanya mengeluarkan modal RM50 untuk mengubah suai Honda C70 itu sehingga boleh meredah banjir seperti di dalam video.

 Memetik laporan Harian Metro, dia tidak menyangka video dirakamkan kakaknya yang merupakan pembonceng mendapat perhatian ramai netizen.

"Saya sebenarnya sudah beberapa kali mengubah suai motosikal iaitu sejak 2014 untuk mengharungi banjir tetapi tidak pernah merakamkan video."

“Saya ubah suai motosikal dengan memasang paip tangki air kereta ke karburator. Paip getah itu saya halakan ke atas.

“Karburator itu saya letak dalam raga motosikal. Salur minyak tu saya letak kat atas sekali supaya dapat elak daripada masuk air,” katanya. - Siakapkeli.my

loading...
loading...