Bayi Lelaki Masih Berdarah Seluruh Badan Ditemui Dalam Longkang Lebuhraya

KAJANG: Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat telah ditemui dalam longkang berhampiran pejabat Plaza Tol Bukit Kajang di sini, semalam, lapor Berita Harian.

Bayi berkenaan ditemui kira-kira jam 5.40 petang oleh sekumpulan anggota Unit Peronda Lebuhraya Silk yang terdengar bunyi tangisannya ketika mereka sedang menukar tayar kenderaan di pejabat di tol tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, selepas menjumpai bayi berkenaan, anggota peronda telah memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis dan Hospital Kajang sebelum sebuah ambulans dihantar ke lokasi kejadian.

Beliau juga memberitahu sebelum kejadian anggota Unit Peronda ada melihat seorang jurutol wanita mengelap darah pada cermin di tingkap tandas wanita.

“Wanita itu memberi alasan membersihkan darah rakannya yang pengsan kerana masalah buasir namun selepas disoal siasat, kita dapati dia adalah ibu bayi berkenaan.

“Ketika ditemui, bayi itu masih berdarah di seluruh tubuh.

Pembantu perubatan Hospital Kajang terpaksa memotong tali pusat dan uri bayi berkenaan sebelum dibawa ke hospital.

“Tiada kecederaan luaran ditemui pada bayi itu dan dia kini diberi rawatan susulan bagi menentukan keadaan kesihatannya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuang bayi yang boleh dikenakan dipenjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – Siakapkeli.my

Carian yang berkaitan: