3 Golongan Yang Rugi Sepanjang Ramadhan Ini, Minta Jangan Sampai Ciri-cirinya Ada Dalam Diri Kita

3 Golongan Yang Rugi Sepanjang Ramadhan Ini, Minta Jangan Sampai Ciri-cirinya Ada Dalam Diri Kita

Ramadan seperti mana disebutkan oleh Rasulullah s.a.w mempunyai tiga fasa, “Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya keselamatan daripada azab api neraka.”

Hal Ini dikongsikan oleh Dr Muhamad Jantan, perunding Motivasi & Psikologi, RMJ Holistic Solution. Biarpun Ramadan bakal berakhir, istighfar dan taubat itu jangan sesekali hilang dari bibir.

Peribadi Rasulullah s.a.w patut dijadikan contoh ikutan. Walau baginda dijanjikan ‘maksum’ (terpelihara daripada dosa), baginda tetap beristighfar kepada Allah SWT hingga 100 kali sehari semalam.

Sebab itu jangan sampai kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi sepanjang Ramadhan ini.

Kisah Rasulullah & Doa Yang Diaminkan

Suatu hari, Rasulullah s.a.w berkumpul bersama para sahabat di dalam masjid. Kemudian baginda menaiki mimbar untuk berkhutbah. Ketika menaiki anak tangga mimbar yang pertama, tiba-tiba baginda menyebut, “Amin!” Ketika menaiki anak tangga mimbar yang kedua, baginda menyebut, “Amin!” Ketika menaiki anak tangga mimbar yang ketiga, sekali lagi baginda menyebut, “Amin!”

Para sahabat berasa hairan lalu mereka bertanya baginda tentang perbuatannya menyebut perkataan “Amin!” sebanyak tiga kali, sedangkan tidak ada sesiapa yang berdoa pada waktu itu. Maka Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa dia mengaminkan doa yang dipohon oleh malaikat Jibril a.s. yang berada di sisi mimbar. Lalu para sahabat bertanya Rasulullah s.a.w tentang tiga perkara penting yang didoakan oleh malaikat Jibril a.s. dan semuanya diaminkan oleh baginda. Sebenarnya malaikat Jibril a.s. mendoakan kecelakaan atau kerugian kepada 3 golongan manusia.

3 Golongan Yang Rugi Itu

Dosanya Yang Tak Diampunkan

orang yang sempat hidup di dalam bulan Ramadan, namun begitu, bila Ramadan berlalu pergi, dosa-dosanya masih tidak diampunkan oleh Allah SWT. Maka rugi dan celakalah orang itu.

Tak Mengucap Selawat Ketika Mendengar Nama Rasulullah

orang yang mendengar nama Rasulullah atau Nabi Muhammad s.a.w disebutkan tetapi dia tidak mengucapkan selawat dan salam kepada baginda. Maka rugi dan celakalah orang itu.

Tak Berbakti Pada Orang Tua Yang Uzur

Orang yang masih mempunyai ibu dan bapa atau salah seorang daripada keduanya yang sedang uzur, tetapi dia tidak memanfaatkan situasi ibu bapanya itu untuk meraih balasan syurga di akhirat dengan berbakti kepada mereka. Maka rugi dan celakalah orang itu.

Foto: IG waniekasabian via Mingguan Wanita

Scroll to top