5 Peniaga Ditahan, Bunga Api Dan Mercun Dirampas

JOHOR BAHRU – Polis menahan lima lelaki dan merampas pelbagai jenis bunga api serta mercun bernilai RM7,100 dalam serbuan di Bazar Ramadan Kluang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohamad Laham berkata kesemua peniaga berumur di antara 25 hingga 44 tahun itu ditahan menerusi Ops Cantas Khas Ramadan kira-kira 11 malam tadi.

“Serbuan dilakukan selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan penjualan bunga api dan mercun di bazar terbabit. Antara bunga api dan mercun yang dirampas di dalam kotak itu tertera nama ‘Happy Boom Glow Of Sunset’, ‘Football Crackers’ dan ‘Happy Boom King Cat-7’,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata pemeriksaan mendapati seorang daripada peniaga terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntuk hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top