Anjung Singgah Bantu NGO Jadi Pusat Agihan Makanan

KUALA LUMPUR – Anjung Singgah bersedia menjadi pusat menyalurkan makanan kepada gelandangan bagi mengelakkan lambakan lebihan makanan dan pembaziran, kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau mengalu-alukan perkara itu kerana ia dapat membantu badan bukan kerajaan (NGO) menyumbang dan mengagihkan bantuan makanan kepada gelandangan dengan lebih teratur.

“Bagi kami kecil tapak tangan, nyiru kita tadahkan kerana kita mempunyai fasiliti yang sempurna dan teratur. Kalau DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) ingin gunakan Anjung Singgah ini sebagai satu di antara ‘tumpuan utama’ untuk agihkan makanan, ia tidak menjadi masalah.

Elok kita adakan banyak pusat selain di Masjid Negara, di Anjung Singgah dan pusat transit yang lain. Kita boleh bantu agihkan ke pusat-pusat lain dan NGO juga boleh datang ke sini untuk menyalurkan bantuan,” katanya pada Majlis Sinar Kasih Ramadan di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL Datuk Ibrahim Yusoff dilaporkan meminta NGO yang mahu menyalurkan makanan kepada gelandangan agar melaksanakannya di tempat yang sesuai dan teratur menerusi Anjung Singgah dan di tiga pusat transit sekitar ibu negara bagi mengelakkan lambakan lebihan makanan dan pembaziran.

Terdahulu, Shahrizat, yang juga Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, menyampaikan juadah berbuka puasa dan sumbangan Aidilfitri kepada 500 gelandangan sekitar Lembah Klang hasil kerjasama YKN dan SME Bank.

Shahrizat berkata Anjung Singgah kelolaan YKN kini bukan sahaja sebuah penempatan sementara gelandangan malah menjadi pusat intervensi bagi golongan itu mengubah kehidupan mereka.

“Perkhidmatan Anjung Singgah YKN telah menjadi sebuah pusat perkhidmatan sosial yang mewajibkan gelandangan melalui proses intervensi dan sesi kaunseling bagi mengenal pasti keperluan gelandangan serta mencari penyelesaian terbaik untuk memberi kehidupan baru agar golongan ini diintegrasi semula ke dalam masyarakat atau komuniti,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2011, sejumlah 3,506 sesi kaunseling diberikan kepada 4,410 gelandangan yang berdaftar di lima pusat Anjung Singgah seluruh negara setakat ini. Daripada jumlah itu, 3,234 penghuni telah berjaya mendapatkan pekerjaan. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top