'Apasal lari kalau tak salah?'

PENJENAYAH warga Indonesia terbabit kes rogol dan samun melarikan diri melalui tandas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, kira-kira 3 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Yusoff Mamat berkata, suspek, 27, melarikan diri melalui tandas Jabatan Siasatan Jenayah selepas berpura-pura mahu membuang air.

"Suspek mengikat seluarnya pada jeriji besi sebelum menariknya bagi membuka ruang melarikan diri. Gerakan memburu suspek sudah dilancarkan," katanya.

Lelaki itu bersama dua rakan jenayahnya yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan polis, pada 13 Jun lalu.

Ketiga-tiganya yang berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan dalam Proton Wira, dekat Plaza Tol Shapadu, menghala ke Shah Alam.

Mereka yang bekerja kontrak mengaku menyamun dengan suspek utama berusia 27 tahun itu mengaku merogol wanita, pada 6 Jun lalu.

Suspek utama itu merogol mangsa berusia 34 tahun ketika dia dan dua lagi rakannya memecah masuk rumah wanita itu, pada kira-kira 4 pagi.

Ketika kejadian, suami wanita itu tidur di ruang tamu bersama anak mereka yang berusia empat tahun.

Suspek utama itu dikatakan memakai bebola besi pada alat sulit untuk tujuan seks.

Sementara itu, Yusoff meminta bantuan orang ramai salur maklumat mengenai suspek atau ternampak lelaki yang turut disyaki terbabit dalam satu kes cabul di Meru, Mei lalu.

Scroll to top