Awie, Isteri Pilih Pulang Beraya Di Siam

AIDILFITRI tahun ini pastinya lebih bermakna buat pelakon dan penyanyi, Datuk Awie kerana buat pertama kalinya dia bakal meraikan hari raya bersama isteri baharunya, Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin.

Lebih menarik, Awie yang sebelum ini pernah mendedahkan dirinya memiliki darah keturunan raja Siam memilih untuk meraikan Aidilfitri kali ini di Thailand.

Menurut Awie, hanya dia dan isterinya sahaja menyambut hari raya di sana, manakala anak-anaknya pula akan pulang beraya bersama ibu mereka.

“Tahun ini, saya akan beraya di Siam. Anak pula kemungkinan balik beraya dengan ibu mereka.

“Saya sendiri sudah lama tidak berjumpa dengan anak daripada perkahwinan kedua saya. Cuma abang mereka, Putra Ahmad Merrah, yang tinggal bersama saya,” kata Awie kepada BH Online.

Bercerita mengenai perkahwinan kali ketiga ini, Awie memberitahu, isterinya belum dikurnia rezeki untuk hamil.

“Selalunya, seperti menerusi perkahwinan pertama dan kedua, hanya selepas setahun lebih, barulah soal hendak menimang anak difikirkan. Perkahwinan kali ini pun begitu juga.

“Dalam hal ini, saya bukannya merancang. Kalau boleh, memanglah saya nak cepat dapat anak (dengannya). Maklumlah, umur pun bukan makin menurun,” katanya.

Terdahulu, Awie mendedahkan dirinya berasal daripada keturunan Raja Sulaiman iaitu pengasas wilayah Songkla, dan sejarah keturunannya itu diketahui selepas dia mengkaji selama empat tahun.

Kisah keluarganya didedahkan selepas tindakannya melangsungkan pernikahan di Songkla menimbulkan tanda tanya ramai. – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Scroll to top