Beri Pendengaran Adil Kepada Doktor Kes Zulfarhan – MMA

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap doktor yang didakwa gagal melaporkan kecederaan dialami pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain kepada pihak berkuasa sebelum kematiannya, diberi pendengaran adil oleh Kementerian Kesihatan.
Presidennya Dr Ravindran R Naidu berkata apa yang dilihat doktor terbabit ketika dikunjungi pesakit berkenaan mungkin jauh berbeza daripada apa yang dilihat semasa bedah siasat.
“Menteri berkenaan (Menteri Kesihatan), sebagai seorang doktor dan ahli klinikal, tentu tahu bahawa tanggapan dan pemerhatian doktor itu ketika beliau melihat pesakit berkenan perlu diberi perhatian sewajarnya.
“Sekiranya kecederaan itu konsisten dengan sejarah yang dimaklumkan pesakit, maka, doktor itu mungkin tidak langsung mengesyaki sebarang perbuatan menyalahi undang-undang dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.
Zulfarhan Osman, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun selepas didakwa didera beberapa rakannya berhubung kecurian sebuah komputer riba.
Pada Ahad, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kementerian akan memanggil seorang doktor klinik swasta yang dilaporkan merawat kadet tentera laut berkenaan, untuk memberi penjelasan tentang kegagalannya melaporkan kecederaan dialami mangsa kepada polis.
Dr Ravindran berkata sebagai doktor yang bertanggungjawab, setiap daripada mereka perlu mematuhi undang-undang.
“Sekiranya kita pasti bahawa sesuatu perbuatan jenayah telah dilakukan terhadap atau oleh mana-mana pesakit, kita akan melaporkannya kepada pihak berkuasa berkenaan.

“Ya, kerahsiaan mengenai perubatan sangat penting, oleh itu sebarang keraguan yang dirasai, mestilah mempunyai asas yang betul-betul kukuh untuk kita mendedahkannya, walaupun dengan cara yang terbatas,”katanya.

Dr Ravindran berkata persatuan itu berharap kementerian dapat mengeluarkan garis panduan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang selain Kementerian Pendidikan Tinggi bersikap proaktif dalam menyiasat bagaimana kekasaran seteruk itu berlaku tanpa dikesan. – BERNAMA

Scroll to top