Buli Daripada Sudut Wanita

Buli Daripada Sudut Wanita

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum kepada semua pembaca muslim. Selamat sejahtera kepada umum.

Susulan daripada kes buli dari UPNM baru-baru ini, aku terdetik untuk menulis dan berkongsi pengalaman aku kat korang yang sudah 11 tahun lamanya terkubur.

Aku seorang perempuan, tapi perangai bolehlah kata macam lelaki. sikitla. sikit sahaja. aku baran, tak berapa nak penyayang sangat. pernah dibuli dan membuli. sewaktu aku bersekolah rendah, aku selalu usik seorang kawan aku ni, shafiqah (bukan nama sebenar). kenapa aku selalu usik dia? sebab shafiqah seorang yang lembik, mengada-ngada, pendiam. perwatakan dia yang lembik dan lemah itu membuatkan aku tak lekang untuk kerap kacau dia. nak-nak lagi bila aku usik dia, dia akan membuat bunyi yang menggambarkan diri dia seorang yang lemah. lagi aku menyampah, dan buli pun berterusan.

Aku dan shafiqah satu kelas. Pernah sekali, sewaktu sekolah tamat dan loceng berdering, adat biasa murid sekolah rendah akan mengangkat kerusi ke atas meja untuk bersiap-siap pulang ke rumah. semua murid akan bersalaman dengan guru yang terakhir sekali mengajar dalam kelas itu. aku tunggu shafiqah punya giliran bersalaman dengan cikgu. sedang dia berasak-asak dengan kawan-kawan lain untuk salam cikgu, aku perlahan-perlahan ke tempat duduk dia untuk jatuhkan semula kerusi dia. bukan hentak pun, aku turunkan saja kerusi dia tanpa menghasilkan bunyi bising pun. sebab aku tak nak kena marah dengan cikgu pulak.

aku nampak kelibat dia datang menghampiri, aku terus ambil botol air minuman dia yang kebetulan ada atas meja dia daripada tadi. sengaja aku nak sorokkan. aku perasan air muka dia berubah-bengang. dia naikkan semula kerusi dan membuat bunyi. aku senyum jahat kat dia sambil melarikan botol itu. cikgu perasan adegan kami setelah kawan-kawan lain beransur pulang. shafiqah pun kejar aku untuk dapatkan barang dia dan aku buat muka macam tak bersalah depan cikgu. senyum kambing.

Hari-hari aku di sekolah itu memang mencabar bagi aku dengan kehadiran shafiqah. aku terus kacau, usik dia dan barang-barang dia. aku tak nafikan, buli budak perempuan memang tak sekasar, seteruk budak lelaki. tapi aku terkedu dan terdiam bila satu hari tu, (selepas beberapa bulan) shafiqah dah tak hadir ke sekolah. oh ya, sebelum itu, aku boleh dikategorikan sebagai budak bijak juga sebab selalu dapat top 3 dalam kelas untuk prestasi akhir tahun. jadi, aku tak dilabelkan sebagai budak bermasalah pun oleh guru-guru. malah, kes aku ni takdelah dahsyat sangat. so, takde isu melibatkan mak ayah pun masa itu.

aku jadi tertanya-tanya apa yang menyebabkan dia tak datang sekolah dah lepas tu. sepanjang aku buli dia, aku tak pernah tahu pun latar belakang keluarga dia. cikgu pun tak beritahu kami sekelas kenapa dia tak hadir ke sekolah dah. pindah ke? merajuk ke? stress ke? depressed? masa tu, aku rasa bersalah juga tapi tak dizahirkan sebab aku fikir pasti ada faktor lain.

Sementara itu, di kawasan perumahan aku ada seorang anak jiran ni (bukan sebelah rumah), Amir (bukan nama sebenar). Amir seorang budak lelaki yang muda setahun daripada aku, lembik juga, lembut-lembut dan boleh kata sepesen lah dengan shafiqah tadi. dia pun buat bunyi meraung juga bila diusik tapi lagi kuat daripada shafiqah. amir selalu datang kawasan rumah aku main dengan adik lelaki aku dan jiran-jiran lain, petang-petang. aku turut sama, tak terlepas. kadang-kadang mereka bermain kereta hotwheels, tembak-tembak, lari sana lari sini. permainan biasa budak lelaki lah aku boleh kata.

pada mulanya, aku suka kacau biasa je amir ni sebab respon dia yang lembut tu. tak tahulah dia geram dengan aku ke tak. nampak girang je meraung-raung pun. satu hari tu, aku nak belajar kayuh basikal dengan adik aku, di kawasan bukit kecil-sebab bila turun laju saja. adik aku dah pandai dulu daripada aku. tiba-tiba amir datang nak main sama. dalam hati aku masa tu, menyibuk je dia ni. tapi aku bagi jugalah peluang kat amir nak main basikal sekali. adik aku tak emo macam aku, dia ok saja.

nak dijadikan cerita, aku acah-acah dia sepanjang dia kayuh basikal tu. dia turun bukit macam nak jatuh pun, aku tertawakan. dia langgar batu pun, aku gelak terbahak-bahak. lepas tu, aku ejek dia. lepas tu, aku kejar dia acah-acah nak takutkan dia sampai dia meraung. nampak macam bergurau-senda kan? entah kenapa, bagi aku puas tengok amir menangis.

langit semakin merah. dah nak masuk maghrib. aku berhenti mengusik amir bila aku terdengar kakak dia panggil dari jauh. aku tersentak. tak pernah-pernah amir bawa tentera dia masuk kawasan perumahan aku. kakak dia masih berbaju sekolah, baru pulang dari sekolah barangkali. aku takut kalau kakak dia nak marah aku, aku pun buat-buat sembunyikan diri. lega bila aku tak dengar pun amir mengadu pada kakak dia sepanjang mereka berjalan pulang. itulah saat kemuncak aku buli amir. sebab hari-hari esoknya, aku semakin berwaspada kalau-kalau amir main kat sini, dia bawa sekali kakak dan abang dia senyap-senyap di belakang rumah aku.

Ok. itu kisah aku dan kawan-kawan. ini kisah dalam keluarga sendiri.

Dalam pada itu, aku dibuli oleh abang aku sendiri. heh. biasalah tu, gurau-gurau manja adik abang, kan?
TAK. bagi aku, aku dibuli mental dan fizikal. tak payah ceritalah macam mana aku dibuli, yang pasti aku tertekan dan aku tak berapa rapat dengan abang aku sampai hari ini (sekarang pun rapat gitu-gitu saja). sebab dulu asyik kena marah, provokasi dia lagi, psiko lagi. boleh kira lemah jugalah aku ni. aku pun buat bunyi-meraung geram acapkali diusik abang aku. itu baru keluarga sendiri, belum masuk sepupu-sepapat lagi. aku dibuli tapi bila balas balik, aku pula yang dimarahi nenek. jadinya, aku pun tak pandai nak rapat dengan nenek aku hari ini.

Apabila aku menginjak ke alam sekolah menengah, aku dihantar ke asrama. aku tak takut dengan spekulasi budak asrama yang katanya ada ragging, seram, keras dan sebagainya. aku bulat tekad nak keluar dari rumah untuk tempuhi satu kahidupan baru di asrama. korang tahu apa jadi?
Aku dipijak. Aku jadi pendiam di sekolah baru. Sebab jauh dari norma kehidupan kita di rumah kan. Aku dianggap terlalu baik oleh teman-teman.

Aku ingat, masa form 1 aku ditipu kawan sendiri. kawan yang memang sangat rapat dengan aku. baru aku tahu manusia ni ada banyak ragam. hitam putih kehidupan aku nampak kat hostel life. baju sukan aku pun nak dicurinya. jelas ada tanda nama aku pun tak mau ngaku lagi. aku tak tahu apa yang dia tak puas hati dengan aku. gigih masa tu aku cari suspek dengan bantuan kawan-kawan lain. kasut pun pernah tertukar juga. kali ni, aku yang tertuduh. Tertuduh kerana tersilap pakai kasut kawan. padahal, aku dah letak tanda pada kasut aku sendiri.

Duhai pembaca sekalian, jelas kan kehidupan ini ibarat roda?
Lama-kelamaan, aku belajar sendiri sifir kehidupan. aku dibuli kerana perwatakan lemah aku. terkesan daripada itu, aku membuli pula orang sekeliling aku. simbolik melepaskan geram. kemudian, aku dibuli lagi kerana aku tidak tegas dengan prinsip sendiri. usia semakin matang, aku tidak semberono membuli yang lain. aku belajar, yang aku perlu tegas dalam berpendirian. tidak terlalu baik, supaya tidak mudah dipijak. tidak terlalu jahat sehingga memakan diri.

setiap yang berlaku, pasti ada kesan dan akibat. kena fikir dulu sebelum bertindak. kepada para pembuli, cukuplah tibai orang tu. kepuasan tu tiada pengakiran melainkan penyesalan yang tak berkesudahan. perkara yang dah terjadi tetap terpahat di ingatan. tak boleh padam senang-senang saja. kepada yang berpotensi untuk dibuli, jangan dizahirkan sangat kelemahan itu. lagi lemah kau, lagi suka orang buli. ingat, berpautlah pada Tuhan, kerana Dia sahaja sumber kekuatan kita.

Dalam berpendirian, perlu bersuara jika tidak puas hati. katakan apa yang kita mahukan yang sepatutnya berlaku. jangan diam saja, nanti kau yang tertekan dan sakit. kadang-kadang medan bersuara sudah dibuka, tapi kita yang pendam. jadilah seorang yang berani, dalam menegakkan kebenaran. jangan sampai kebatilan yang tertegak. Naudzubillah. Berkenaan barang-barang sendiri, pandai-pandai lah jaga. untuk adik-adik yang baru nak masuk asrama tu, tulis nama jelas-jelas pada barang korang. kalau dituduh, ada bukti sekurang-kurangnya.

dan adalah satu adab, sebelum meninggalkan sesuatu tempat, tempat yang kita dah guna pakai tu mesti bersih (boleh rujuk ahli jemaah tabligh ya). jangan ada satu pun barang kita yang tertinggal. elakkanlah sengaja nak tinggalkan barang untuk wakaf tanpa lafazkan pada pemilik tempat. pemilik tempat tu pun ragu-ragu nak guna barang orang gamaknya.

Aku tak nafikan, ada orang perlukan segunung keberanian untuk cakap apa yang benar di khalayak ramai. susah-susah itulah yang dapat ganjaran di sisi Allah. Islam ajar berkatalah benar walaupun pahit. Isu buli ni memang sinonim dengan budak asrama. tak hilang dek zaman. makin lama makin teruk. generasi baru, ragging pun makin pelbagai cara. jarang dengar isu buli dikaitkan dengan wanita. kalau kat sekolah aku dulu tu, yang perempuan lebih kepada nak brainwash junior sahaja. aku tak pasti isu ni ada garisan penamat atau tak.

apa yang aku boleh simpulkan di sini, gejala ini boleh berkurang dengan cara didikan mak ayah di rumah. pegangan agama yang betul pun kena kuat. mak ayah perlu terus awasi tingkah laku anak sejak kecil (sebenarnya sedari dalam perut mak lagi-better). buang jauh-jauh rasa tak nak ambil tahu pasal anak. anak tu saham akhirat tuan puan sendiri. dari kecil, memang anak perlukan perhatian dan kasih sayang mak ayah. bila terlepas, anak akan cenderung untuk cari perhatian orang lain. maafkan aku yang belum berpengalaman mendirikan rumahtangga ini, tapi itulah yang aku alami sepanjang bergelar seorang anak ini. tuan puan juga pernah menjadi seorang anak, kan?

oklah. itu sahaja yang aku nak share dengan korang. kalau nak disenaraikan tindakan susulan lain, jadi esei 5 muka surat pula nanti.
Moga Allah berkati amalan, pekerjaan harian kita. mohon maaf ke atas shafiqah, amir, sepupu dan abang aku.
terima kasih. Wallahualam.

tq admin sebab approved!

Muslimat QZ.

Sumber & Kredit: iiumc

Scroll to top