Daif tak halang ibu tunggal besarkan 4 anak

Seorang ibu tunggal gigih membesarkan empat orang anaknya meskipun mereka terpaksa tinggal dalam keadaan daif dan menyedihkan di sebuah rumah usang dalam kebun getah di Kampung Mata Air, Pokok Sena, Kedah.

Malah, tanpa bekalan elektrik serta bekalan air yang sempurna, rumah tanpa bilik itulah yang menjadi tempat berteduh ibu tunggal, Che Rus Awang Bu, 42 bersama empat anaknya yang berusia antara setahun hingga 17 tahun sejak sembilan bulan lalu.

Di rumah itu jugalah, dia bersama suaminya, Aziz Hamdan, 42 meraih rezeki sebagai penoreh getah di kebun berkenaan dan melakukan beberapa kerja kampung yang lain seperti mengutip kayu api serta bertukang sehinggalah suaminya menemui ajal pada 8 Jun lalu dalam kemalangan jalan raya di Kubang Lerek, Pokok Sena yang letaknya hampir 10 kilometer dari kawasan itu.

“€œSuami saya baru sahaja meninggal dunia pada Khamis lalu selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Kubang Lerek dan ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertemu rakannya.

“€œKematiannya menyebabkan saya kini yang menyara keluarga dan dengan keadaan seperti ini, apa sahaja yang boleh dibuat untuk dijadikan mata pendapatan keluarga akan saya lakukan kerana kami tiada pendapatan tetap,”€ katanya.

Dia berkata demikian kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mata Air, Pokok Sena.

Perkahwinannya dengan Allahyarham suaminya dikurniakan lima orang anak iaitu Nor Kalimatun Saadiah, 19, Mohd Khairul Nizam, 17, Nur Alia Natasya, 11, Mohd Al Hafiz, 6 dan Nur Maizatul Jannah, setahun.

Apa yang menambah kesedihan adalah anaknya yang ketiga, Nur Alia Natasya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Payung terpaksa mengulangkaji pelajaran di rumah berkenaan dengan berbekalkan lilin disebabkan tiada bekalan elektrik di rumah itu.

“€œAnak sulung saya sudah pun berkahwin dan tinggal bersama suaminya yang juga seorang nelayan di Ayer Hitam dan rumah ini sudah kami duduki sejak sembilan bulan lalu kerana tanah kebun getah yang kecil ini adalah peninggalan keluarga saya jadi disebabkan tidak mahu menyusahkan ahli keluarga lain, kami nekad untuk tinggal di sini.

“€œTiada bekalan elektrik di rumah ini dan kami semua hidup dengan hanya berbekalkan lilin sahaja untuk menerangi kegelapan rumah ini malah bekalan air pula disediakan oleh Syarikat Air Darulaman (SADA) yang menakung air pada dua tong di hadapan rumah kami ini,”€ katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati keadaan rumah berkenaan sangat daif dengan sistem saliran tandasnya tidak sempurna manakala keadaan kediaman sangat berselerak dengan pakaian mereka anak beranak.

Dinding serta tingkap rumah pula dibina menggunakan kayu yang hampir reput malah jalan untuk masuk ke rumahnya juga harus melalui laluan yang dipenuhi lopak air.

Che Rus berkata, dia sekeluarga tidak pernah mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah sebaliknya hanya menerima bantuan makanan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah selepas kisahnya tular di media sosial.

“€œWalaupun begitu, kami hanya meneruskan hidup dengan belas ihsan oleh jiran sekampung.

“€œJika sebelum ini, arwah suami saya akan menghantar Nur Alia Natasya ke sekolah namun sejak kematiannya, saya hanya menumpang ihsan jiran berdekatan untuk menghantar anak saya ke sekolah bagi memastikan dia tidak ketinggalan dalam pelajarannya,” katanya.

Dia berkata ada guru sekolah anaknya yang menyarankan supaya anaknya itu tinggal di asrama bagi meringankan bebannya dan memudahkan anaknya untuk belajar namun perkara berkenaan masih lagi dibincangkan.

Selain Lembaga Zakat Kedah, kedaifan hidup Che Rus turut mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang memberikan bantuan termasuk pembiayaan tanggungan pendidikan kepada anaknya.

Scroll to top