‘Demi Syurgaku.’ Lelaki Ini Sanggup Berhenti Kerja Demi Menjaga Ibunya Sepenuh Masa Yang Terlantar Sakit

Kota Bharu: Demi ibunya, seorang lelaki sanggup mengorbankan masa depan dan tekad berhenti kerja untuk menjaga serta mengurus wanita kesayangannya itu lapor Harian Metro.

Mohd Suhairi Awang, 29, yang sebelum ini bekerja di sebuah pasar raya di Kuantan, Pahang, berhenti kerja empat tahun lalu untuk menjaga ibunya Pauziah Muhamad, 68, yang menghidap kencing manis kronik. Malah, penglihatan wanita itu juga semakin kabur akibat penyakit dihidapi sejak tujuh tahun lalu dan kini hanya terlantar serta hilang upaya untuk menguruskan diri.

“Berhenti kerja keputusan terbaik yang pernah saya buat kerana menjaga ibu yang semakin uzur menjadi tanggungjawab utama saya sebagai anak lelaki.
“Saya tidak sanggup mengabaikan ibu kerana sebelum ini dia yang berhempas-pulas menjaga saya dan lima adik-beradik selepas ayah meninggal dunia.
“Kini tugas saya menjaganya walaupun terpaksa korbankan kebahagiaan diri sendiri. Saya tidak menyesal,” katanya ditemui di Kampung Mahligai, Melor di sini, kelmarin.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat Abdul Azziz Kadir dan isterinya, Noraini Mustafa yang hadir bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan.
Abdul Azziz dan isteri turut melawat seorang lagi warga emas di kampung itu, Che Rahmah Che Wil, 61, yang menghidap penyakit kanser.

Bercerita lanjut, Mohd Suhairi yang juga anak bongsu dan masih bujang berkata, rutin hariannya adalah memandikan Pauziah menukar lampin pakai buangnya serta menyuapkan makanan.

“Pada masa sama, saya perlu memberi ibu minum susu khas enam kali bagi setiap empat jam. Masa saya memang sepenuhnya menjaga ibu.
“Untuk Ramadan ini, ada juga dapat bantuan daripada kakak tiri (Syukriah Harun, 47) kerana kedai makan diusahakannya tutup sepanjang bulan,” katanya.

Katanya, setiap bulan, RM600 diperuntukkan untuk membeli keperluan ibunya terutama lampin pakai buang dan susu. Pauziah juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

Scroll to top