Dua Parah Bergaduh Dalam Keadaan Mabuk

ALOR SETAR – Dua lelaki cedera parah selepas bergaduh dalam keadaan mabuk bersama beberapa rakan mereka di Taman Bandar Baru, Pokok Sena di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, S. Naresh, 31, yang bekerja sebagai pemandu cedera parah selepas mengalami pendarahan di kepala dan darah beku di otak manakala rakannya A. Sinnathamby, 32, luka di belakang badan.

Mereka dipercayai diserang dengan objek tumpul dipercayai kayu dan mangsa terbabit masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah.

Ketua polis Daerah Kota Setar, ACP Rozi Jidin berkata kejadian dipercayai berlaku berpunca daripada salah faham di mana mereka memaki dan mengaibkan nama bapa masing-masing sebelum berlaku pergaduhan.

“Di fahamkan ketika kejadian, sekumpulan pemuda berkumpul di sebuah pondok sambil minum minuman keras hingga mereka berada dalam keadaan mabuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya tiga suspek berumur antara 26 hingga 48 tahun ditahan dan beberapa orang lagi masih diburu untuk membantu siasatan manakala tiada sebarang senjata yang digunakan ketika kejadian.

“Mangsa yang cedera parah kini masih di rawat di Hospital Sultanah Bahiyah di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top