Duit Hantaran dan Kenduri

Duit Hantaran dan Kenduri

Assalamualaikum admin. Saya anak dara berumur 26 tahun, menganggur dan bakal berkahwin dalam masa 2 bulan.

Sebelum ini, saya bekerja di kota raya selama 2 tahun dan berjaya mengumpul RM 14,000.00 dan kemudian berpindah ke negeri di mana ibu bapa dan bakal mertua saya tinggal. Selepas berpindah, saya gagal mendapatkan pekerjaan di sini. Duit simpanan saya makin susut dari hari ke hari digunakan untuk membeli makanan harian, barang-barang hantaran, busana nikah dan sanding, kasut pengantin dan lain-lain. Kini baki akaun kurang daripada RM 1,000.00.

Pada mulanya saya tidak mahu sanding, kerana bagi saya itu hanya satu pembaziran. Tapi mak berdegil, marah saya kata jangan jadi bodoh, ko tu kahwin sekali je, laki tu boleh kahwin lain ko tak sanding, nanti laki ko sanding dengan perempuan lain ko jangan jeles. Akhirnya seteleh berbincang kami setuju untuk bersanding. Kemudian, mak telah menetapkan wang hantaran sebanyak RM 15,000.00, itu pun setelah bertekak dengan saya kerana pada mulanya dia ingin meletakkan RM 20,000.00. Ceritanya begini, kami telah membuat keputusan untuk membuat satu majlis sahaja, untuk berjimat kerana kami sedar akan status kewangan kami. Satu majlis dan kosnya akan dibahagi dua, ditanggung sama rata oleh pihak lelaki dan perempuan. Mak selalu sahaja marah apabila saya meminta duit daripada duit hantaran itu untuk membayar deposit pelamin, jurugambar atau mak andam dan selalu tengking dan menyindir saya bagus! perhabiskan je la duit tu!!.

Sekarang ni, bayaran majlis untuk pihak perempuan semua datang dari duit hantaran, dan tiada satu sen pun dari duit mak ayah. Mak dah cakap, kalau ada lebihan duit hantaran, dia mahu gunakan untuk cat dinding rumah, beli langsir, beri kepada saudara dan kawan mak yang datang untuk membayar kos pengangkutan mereka. Saya terasa hati sebab bukan sahaja mereka tidak tolong, malah mahu menggunakan duit hantaran untuk orang lain. Sedangkan gaji bakal menantu bukanlah banyak, tidak sampai RM 2,000.00. Saya pula masih menganggur. Saya pernah cakap dengan mak, kesian bakal suami separuh mati kerja, buat uber, sebab nak kumpul duit hantaran. Kalau boleh janganlah digunakan semua untuk majlis. Saya mengharapkan mak faham dan beri lebihan duit hantaran untuk kegunaan selepas kahwin- sewa rumah dan perabot. Bukan sahaja mak tidak mahu bagi, malah katanya duit yang diberikan oleh tetamu kelak juga patut diberikan kepada dia. Untuk pengetahuan semua, ibu bapa saya bekerja dan gaji bulanan mereka hampir RM 20,000.00. Ayah lebih banyak berdiam diri dalam hal ni dan tidak ambil tahu. Tidak sabar katanya mahu lepaskan saya, kurang beban dan dosa.

Saya jadi malu dan sedih dengan perangai mereka. Mereka bukan sahaja berduit, malah haji dan hajjah. Tetapi apabila bercakap megenai perkahwinan, selalu sahaja ingin bermegah. Makanan ketika sanding sahaja sudah melebihi 8 jenis lauk dan makanan. Mereka pula bukan jenis boleh ditegur, pasti akan ditengking dan disindir. Saya cuba bagi petunjuk, cakap tentang kos selepas kahwin, dengan saya yang masih belum mendapat kerja dan tidak mahu menjadi beban kepada bakal suami tetapi mak mesti akan marah balik aku dah kata minta RM 20,000.00 kau degil, nak murah. Sape suruh ko tak kerja.

Sekarang saya tak tahu macam mana. Salah ke kalau saya mengharapkan mak berjimat dengan duit hantaran, atau sekurang-kurangnya duit dari tetamu berilah kepada bakal suami saya. Saya betul-betul malu, duit majlis ditanggung 100% oleh pihak lelaki, sebab pihak perempuan guna duit hantaran pemberian bakal suami, belah lelaki juga guna duit bakal suami dan bakal mertua. Saya kasihan bakal suami saya. Apa yang perlu saya buat?

Saya yang malu

Sumber & Kredit: iiumc

Scroll to top