Kenyataan Dr Mahathir Berhubung Isu DoJ Diragui

KUALA NERANG – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menafikan beliau pernah berjumpa dengan pegawai Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat adalah amat diragui, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata ini kerana dua orang kanan Dr Mahathir iaitu bekas setiausaha politiknya Matthias Chang dan bekas Naib Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pernah secara terbuka menguar-uarkan tindakan mereka ke Amerika Syarikat untuk melaporkan hal berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Walaupun Tun M kata tidak tahu tapi bila orang kanan dia pergi maka dia pun (semestinya) tahu mengenai hal itu dan seolah-olah dia pun ada pergilah.

“Ada kumpulan tertentu cuba rosakkan kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO terutamanya apabila pilihan raya umum semakin dekat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilftri oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap Datuk Ghazali Ibrahim, di sini hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir yang dilaporkan di sebuah portal berita, bahawa bekas perdana menteri itu tidak pernah berjumpa ataupun kenal dengan pegawai Amerika Syarikat.

Ia susulan saman sivil terbaru DoJ bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top