KPDNKK Tahan Pengasas Skim Piramid Mface

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menahan pengasas skim piramid, Mface Club @ Mfc Club serta merampas wang tunai berjumlah RM685,612 dalam serbuan di tiga rumah mewah milik lelaki itu, di Sungai Dua Butterworth dan Kulim, Kedah semalam.

Lelaki berusia 50-an itu ditahan di kediaman mewahnya di Taman MBI Kulim melalui operasi Op Token 2 oleh KPDNKK yang bermula pada pukul 6.30 pagi.

Operasi hasil maklumat dan risikan sejak sebulan lepas itu dijalankan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Pejabat Peguam Negara.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata hasil serbuan di rumah lelaki terbabit di Taman MBI Kulim, pihaknya merampas wang tunai sebanyak RM187,612 dan pelbagai mata wang asing bernilai RM218,000 serta tiga buah kereta mewah iaitu Jaguar, Range Rover dan Vellfire bernilai RM1.55 juta.

“Kami turut menyerbu sebuah lagi kediaman milik lelaki itu di taman yang sama namun tiada rampasan manakala dalam serbuan di rumahnya di Sungai Dua, Butterworth, kami merampas wang tunai RM280,000,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd Roslan berkata susulan penahanan pengasas skim Mface Club @ Mfc Club di bawah syarikat MBI Group itu, pihaknya turut membekukan empat akaun milik lelaki berkenaan dan saudaranya membabitkan nilai sebanyak RM30 juta.

“Sehingga kini, jumlah pembekuan ke atas akaun-akaun yang terlibat dalam skim itu ialah RM209 juta melibatkan 98 akaun iaitu 49 akaun syarikat serta 49 akaun individu membabitkan pengasasnya, pelabur dan beberapa pihak lain,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pihak berkuasa di luar negara terutama di China kerana skim itu turut membabitkan pelabur dan pelaburan di sana.

Pengasas skim itu kini direman selama empat hari dan disiasat menurut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), katanya.

Beliau berkata susulan operasi itu, pihaknya percaya berjaya menumpaskan sindiket skim piramid yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang serta usaha mengesan beberapa lagi individu yang terlibat dengan kegiatan itu giat dijalankan.

“Penguatkuasaan secara bersepadu itu menyasarkan tindakan lebih menyeluruh, bukan hanya terhadap pengendali, malah turut membabitkan penganjur dan pelabur dalam skim ini. Saya juga minta sesiapa yang pernah menjadi mangsa skim itu agar tampil membuat laporan kepada KPDNKK,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top