Lelaki Berkopiah Samun Pukau Gelang RM13K

PELBAGAI cara dan taktik licik termasuk menggunakan kaedah pukau sanggup di lakukan penjenayah hanya kerana mahu mendapatkan duit dengan cara yang mudah.

Terbaru, seorang warga emas kerugian ribuan ringgit selepas gelang emasnya disamun seorang lelaki yang dipercayai berlaku di Bukit Kurau, Taiping, Perak.

Menerusi perkongsian anak mangsa, Siti Nur Ain Razali melalui laman Facebook, kejadian berlaku pada 9.35 pagi Selasa lalu apabila gelang tangan ibunya yang bernilai RM13,000 disamun lelaki berusia lingkungan 50-an selepas mangsa dipukau lelaki berkenaan.

“Orang tua nie suruh mak aku buka gelang dan masuk dalam sampul.

“Selepas gelang disimpan dalam sampul, lelaki itu meminta ibu saya berjalan sebanyak tujuh langkah.

Dalam kesempatan itu, dia menukar sampul yang berisi gelang emas itu dengan duit syiling.

“Bayangkan duit syiling itu ada RM1.60. Gelang yang dia ambil itu bernilai RM13,000! Sedih tengok mak saya diperbodohkan begitu,” katanya.

Jelasnya, kesal dengan tindakan suspek berperwatakan seperti ustaz, namun sebenarnya berniat jahat.

“Gaya kemain lagi macam ustaz yer, muka hang kami dah nampak, hati-hati orang Batu Kurau,” tulisnya.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berhubung kejadian itu.

Siti Nur Ain turut memuat naik video dan gambar lelaki yang dipercayai suspek bersama seorang lagi lelaki mencuri gelang emas ibunya.

Perkongsiannya itu mendapat perhatian netizen yang dikongsi sebanyak 9,793 kali dan netizen turut berkongsi kisah melibatkan suspek yang sama.

Ada netizen berkata itu bukan kejadian pertama malah pernah berlaku di beberapa tempat yang lain seperti di Teluk Intan, Perak,

Golongan penjenayah ini menggunakan modus operandi yang sama dengan mensasarkan mangsanya wanita berusia yang mudah diperdaya atau dipukau.

“Ibu mertua saya pun pernah kena begini juga. Habis gelang tangan, rantai leher dan loket disamun. Bila buka sampul, ada duit syilling saja,” kata Farah Bazla Baharuddin.

“Kes pukau seperti yang berlaku pada mak saya. Habis gelang, rantai, kad bank semua siap minta nombor pin. Yang juga didalangi dua individu di mana seorang berlagak menjadi ustaz, yang seorang lagi berlagak menjadi mangsa.

“Orang itu bagi batu cincin pada mak saya. Kemudian mak saya terus terikat. Mak kata, dia cakap pada mak yang rezeki mak akan melimpah ruah. Guna nama Allah, letak dalam sampul. Tiga hari dia tak bagi mak saya bercakap dengan sesiapa.

“Sekali buka sampul itu tengok ada batu kecil banyak-banyak,. Memang sakit hati saya dengar bila mak saya ceritakan semula kejadian itu.

“Bila buat semakan di akaun bank mak, habis semua duit diambil oleh mereka. Dia cucuk duit di Kelantan, tetapi buat kerja pukau ini di Johor,” kata Adex Keledex.

“Memang dia pusing Malaysia ni.. Hari tu makcik sy kena kat kuala krai.. Tp dia gantikan barang kemas dengan batu dan kaca.. Puluh ribu habis.. So berhati hati lah ,” kata Chenta Wangsa.

“Katanya..org tua ni penah diviralkan kat telok intan jugak..kes sama..maknanya mmg keja dia dok pukau org merata,” kata Niza Abdul Rani.

Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan meminta ibu bapa masing-masing sentiasa berjaga-jaga dan tidak memakai sebarang barang kemas atau membawa wang tunai yang banyak ketika keluar bersendirian. –MYNEWSHUB.CC

Loading...

Scroll to top