Orang Penting MFace Akhirnya Kecundang, 98 Akaun Bernilai RM209 Juta Dibekukan

Orang Penting MFace Akhirnya Kecundang, 98 Akaun Bernilai RM209 Juta Dibekukan

Sebuah kenderaan mewah turut dirampas KPDNKK dalam serbuan berhubung skim pelaburan MFace. (Gambar: Eiylla Syaharith)

Intipan selama sebulan akhirnya membuah hasil apabila orang penting dalam skim pelaburan kelab MFace akhirnya kecundang ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di rumahnya sendiri di Taman MBI, Kulim, Kedah pagi semalam.

Lelaki berusia 50-an itu ditahan pada jam 6.30 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai Pasukan Tindakan Khas Bahagian Penguatkuasa, KPDNKK Putrajaya bersama-sama Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, dalam operasi membabitkan pemeriksaan ke atas tiga premis termasuk satu di Sungai Dua, Butterworth dan dua lagi di Taman MBI, Kulim, Kedah.

Sebahagian wang tunai dan barangan yang dirampas KPDNKK di Sungai Dua dan Taman MBI, Kulim, Kedah pagi semalam.

RAMPASAN WANG TUNAI DAN HARTA BENDA

Siasatan mendapati hasil serbuan yang dibuat pada 29 Mei lalu ke atas skim berkenaan di dua premis di Lembah Klang dan Pulau Pinang dan akhirnya berjaya mengesan tiga rumah yang disyaki menjadi transit penyimpanan wang tunai.

"Pemeriksaan lanjut ke atas premis pertama menemui sejumlah wang bernilai RM280,000 dan pihaknya turut merampas wang tunai bernilai RM187,612 berserta pelbagai mata wang asing bernilai RM218,000 di rumah suspek di Taman MBI.

"Turut dirampas tiga kereta mewah jenis Jaguar, Range Rover dan Velfire yang dianggarkan bernilai RM1.45 juta dan pihak KPDNKK turut membuat pembekuan ke atas empat akaun suspek bernilai RM30 juta.

"Suspek kini ditahan reman empat hari untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," katanya ketika sidang media di Bank Negara Malaysia (BNM), Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.

Mohd Roslan (dua dari kanan) menunjukkan wang tunai yang dirampas disyaki terbabit dalam skim pelaburan MFace.

ASET DIBEKUKAN

Mohd Roslan berkata, sehingga kini jumlah pembekuan ke atas akaun yang terbabit dalam skim berkenaan adalah 98 akaun membabitkan 49 akaun syarikat dan 49 lagi akaun individu berjumlah RM209 juta.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hari dan tidak terperdaya dengan skim yang menjanjikan pulangan segera selain orang ramai perlu semak dengan pihak berkuasa selain akan memantau dan membanteras skim yang menipu orang ramai dan melanggar undang-undang.

Sebarang pertanyaan boleh disalurkan kepada KPDNKK di talian 1-800-886-800 atau e-aduan iaitu eaduan.kpdnkk.gov.my atau pejabat KPDNKK yang berhampiran.

Scroll to top