Penolong Jurutera JKR Dituduh Salah Guna Kuasa

KOTA KINABALU – Seorang Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dihadapkan ke Makhkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini kerana didakwa menyalahgunakan kedudukannya dalam pemberian kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di Tuaran.

Chong Ming Hiong, 59, yang bertugas di pejabat JKR Tuaran serta berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Mamat.

Dia didakwa terlibat memperakukan cadangan pemilihan syarikat JR Enterprise yang dimiliki anaknya untuk mendapatkan kerja penyelenggaraan Jalan Hamad Kitapol Kilometer1.40 – Kilometer 6.80 bernilai RM49,200 pada 29 Okt 2010 di pejabat JKR Tuaran.

Tertuduh, yang telah 39 tahun berkhidmat dengan JKR, dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Chong, yang diwakili peguam Dominic Chew Ban Huat, dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 berserta seorang penjamin tempatan.

Tertuduh juga diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Abu Bakar menetapkan 26 Julai depan bagi pengurusan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top