Pertama Kali Anak-anak Syria Merai Baju Raya

KUALA LUMPUR – Anak pelarian Syria, Hamzah Manad, 5, dan Fatimah Batul Imad, 7, amat bersyukur kerana buat pertama kali mereka dapat memakai baju baharu di hari raya.

Tambahan pula mereka sekali lagi berpeluang menyambut Aidilfitri dalam suasana udara bebas di bumi Malaysia.

Kedua-duanya yang tiba di negara ini dua tahun lalu menunggu-nunggu untuk menyambut ketibaan lebaran nanti.

“Ini pertama kali saya dapat membeli baju dan mainan baharu untuk hari raya. Saya amat gembira kerana dapat bersama kawan-kawan saya,” kata Fatimah yang fasih berbahasa Inggeris dan Melayu.

Fatimah dan Hamzah adalah antara 42 orang kanak-kanak Syria yang dirai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membeli pakaian di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Beliau berkata ia pertama kali program itu diadakan dengan harapan kanak-kanak tersebut mempunyai kenangan indah menyambut Aidilfitri bersama keluarga mereka.

“Mereka begitu menderita di negara mereka dan kini mereka boleh menetap dengan gembira di Malaysia yang aman,” kata Ismail Sabri.

“Kita akan bekerjsama erat dengan kementerian lain seperti Kementerian Luar bagi membantu kanak-kanak Syria yang dibawa ke negara ini menerusi program migran. Tapi bagi saya yang penting ialah soal pendidikan mereka,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Lifeline for Syria, Syahril Azfar Saleh berkata kanak-kanak tersebut sedang belajar di Jasmine Ash-sham school di Setiawangsa.

“Kita mempunyai 50 pelajar di sekolah itu yang ditadbir atas sumbangan orang ramai. Kita berharap kita boleh bekerjasama dengan kementerian berkaitan untuk memberi pelajaran lebih baik kepada kanak-kanak ini.

“Satu hari nanti mereka akan kembai ke Syria dan ketika itu mereka boleh berdiri atas kaki sendiri dan membina semula negara mereka,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top