Premis Sembelih Ayam Guna Logo Halal Palsu Diserbu

SITIAWAN – Jijik dan kotor, itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan sebuah premis penyembelihan ayam di sebuah ladang kelapa sawit di Batu 11, Segari di sini.

Malah, proses penyembelihan ayam di premis berkenaan turut meragukan apabila pemeriksaan mendapati kerja-kerja menyembelih dijalankan tiga lelaki warga asing dari Nepal dan Bangladesh.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Yusri Abdul Rani berkata premis itu turut menggunakan pek yang mempunyai logo halal palsu tanpa memiliki sijil halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Pemeriksaan mendapati kesemua pekerja yang terlibat dengan penyembelihan ayam di situ tidak mempunyai sijil tauliah dan beroperasi tanpa pengawasan JAIPk.

“Premis itu turut mengaburi pembeli dengan mempamerkan sijil tauliah sembelihan milik warga tempatan sedangkan penyembelihan ayam dilakukan oleh warga asing dan ini adalah sangat meragukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Yusri berkata serbuan kira-kira pukul 3.30 pagi tadi melibatkan 15 anggota dari JAIPk dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas mendapat maklumat serta aduan daripada orang awam.

Beliau berkata kebersihan premis itu di tahap sangat kotor apabila lantai dan dinding didapati dalam keadaan berlumut sehingga menimbulkan bau yang busuk di kawasan sekitar.

“Maklumat daripada seorang pekerja Bangladesh, dia bekerja di premis itu sejak dua bulan lepas dan sebelum ini memang kerja penyembelihan dilakukan oleh pekerja Melayu,” katanya.

Yusri berkata kesemua ayam yang telah dibungkus dipercayai akan dihantar kepada peniaga dan penjual makanan di sekitar daerah Manjung dan kebanyakannya adalah peniaga Melayu yang menjual makanan seperti sate.

Yusri berkata pihaknya hanya boleh memberi peringatan kepada pemilik dan pengurus premis itu memandangkan mereka bukan pemegang sijil halal dan menyerahkan kepada KPDNKK atau agensi berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita menasihatkan pengguna terutama peniaga untuk berhati-hati apabila membeli ayam di pasaran dan pastikan pembekal ayam itu memegang sijil halal supaya sembelihan adalah mengikut hukum syarak dan terjamin kebersihannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua KPDNKK Cawangan Manjung, Omar Ismail berkata premis itu didapati melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan logo halal palsu yang tidak diiktiraf Jakim.

Beliau berkata pihaknya turut merampas 15 ekor ayam yang telah dibungkus di dalam pek yang menunjukkan logo halal palsu untuk siasatan.

“Sehubungan itu, pemilik premis berkenaan akan diambil tindakan undang-undang memandangkan hanya logo halal yang diiktiraf Jakim sahaja dibenarkan digunakan di mana-mana premis perniagaan,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top