Projek Kumbahan Pulau Redang Siap 2020

SETIU – Projek kumbahan dengan kos RM67.2 juta bagi memulihara kebersihan Pulau Redang, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata projek itu akan ditender pada Ogos ini yang melibatkan proses membina dan menaik taraf sistem rawatan kumbahan sedia ada di 13 premis hotel dan chalet.

“Apabila siapnya projek ini, ia mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang sering diajukan pihak pengusaha hotel. Masalah perparitan juga akan diselesaikan.

“Namun dalam tempoh terdekat ini, saya mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melihat dan mengkaji penyelesaian jangka masa pendek menangani isu kumbahan, perparitan dan isu lain,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan di sekitar Pulau Redang di sini.

Selain itu, kerajaan negeri memutuskan untuk membina jeti baharu di Kampung Teluk Bakau di sini yang membabitkan kos sebanyak RM4.5 juta.

Ahmad Razif, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu, berkata projek itu mampu memberi manafaat kepada 2,000 penduduk sekitar.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memutuskan untuk menubuh satu pasukan petugas bagi meninjau keadaan kebersihan di Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah dari semasa ke semasa. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top