Proton tawar pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma untuk Hari Raya

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd menawarkan pemeriksaan keselamatan 20 mata percuma kepada pelanggan di semua pusat servis yang sah sempena cuti Hari Raya.

Menurut kenyataan Proton hari ini, program tersebut dianjurkan bersama dengan Petronas dan kempen Coffee Break Petronas.

"Pemeriksaan keselamatan itu akan merangkumi pemeriksaan tekanan dan bunga tayar, sistem brek, operasi pedal dalam brek dan cekam, suspensi, bateri, bilah pengelap cermin, tali sawat, semua suis dan juga paras cecair seperti minyak enjin, bendalir brek, stereng kuasa, bahan pendingin dan pencuci bilah," katanya.

Menurut Proton selain pemeriksaan percuma, syarikat itu juga menyediakan stesen pemeriksaan bergerak untuk pemeriksaan keselamatan percuma di Hentian Sebelah Petaling Jaya (laluan Puchong-Sunway) mulai 10 oagi hingga 5 petang pada 20 Jun hingga 22 Jun 2017.

Pasukan pemeriksaan juga akan berada di lima stesen Petronas terpilih iaitu di stesen Petronas Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah; stesen Petronas Seremban, Negeri Sembilan; stesen Petronas Jerteh, Terengganu; Kawasan Rehat dan Servis Petronas Gambang, Pahang dan stesen Petronas Gua Musang, Kelantan, antara 10 pagi hingga 5 petang mulai 21 Jun hingga 23 Jun 2017,

-- BERNAMA

Scroll to top