PSM Harap Harimau Malaya Beraksi Di Stadium Nasional

KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berharap Stadium Nasional di Bukit Jalil, akan digunakan sebagai gelanggang tuan rumah skuad Harimau Malaya untuk perlawanan akan datang apabila kerja-kerja menaik taraf venue itu siap, Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM Azman Fahmi Osman berkata stadium dibina pada 1998 itu dinaik taraf dengan bertemakan Harimau Malaya bagi memberi kelebihan selaku tuan rumah kepada skuad negara​​​ dan menaikkan semangat penyokong.

“Kami sangat teruja untuk melihat pasukan kebangsaan beraksi di stadium berwajah baharu ini. Tempat duduk berwarna hitam dan kuning, sama dengan jersi pasukan kebangsaan, berbanding dengan warna bendera kebangsaan sebelum ini.

“Kita juga menaik taraf bilik persalinan dan lounge VIP. Stadium berkenaan kini sama taraf seperti Stadium Wembley di London,” katanya semasa taklimat media dan lawatan projek di sini hari ini.

Kali terakhir perlawanan bola sepak diadakan di stadium yang boleh memuatkan 87,411 penonton itu adalah ketika Pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool pada Julai 2015, sebelum stadium berkenaan ditutup untuk kerja-kerja menaik taraf.

Sejak itu, Stadium Shah Alam digunakan sebagai gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya, sebelum beralih ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor, tahun lepas.

“Pasukan negara sekarang berpangkalan di Johor untuk kempen kelayakan Piala Asia 2019 kerana stadium ini ditutup. Namun, apabila stadium ini siap dan dibuka, kami akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan lihat macam mana,” katanya.

Pada Sukan SEA ke-29 Ogos ini, stadium berkenaan akan digunakan untuk perlawanan separuh akhir dan akhir acara bola sepak, manakala aksi peringkat kumpulan berlangsung di Stadium Shah Alam dan Stadium Kuala Lumpur.

Azman berkata fasa pertama projek bernilai RM500 juta dilaksanakan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu, termasuk menaik taraf Stadium Nasional, Arena Axiata (dahulunya Stadium Putra), Pusat Akuatik Nasional, Stadium Hoki Nasional dan juga plaza berskala besar serta pembangunan infrastruktur di Kompleks Sukan Negara, yang kini 98 peratus siap.

Fasa kedua projek Bandar Sukan Kuala Lumpur bernilai RM1.1 bilion itu, dijangka bermula selepas Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 Sept, termasuk membina bumbung yang boleh dibuka di Stadium Nasional.

Stadium itu sebelum ini digunakan untuk penganjuran Sukan Komanwel 1998, Sukan SEA 2001, beberapa perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA serta aksi antara Pilihan Malaysia menentang beberapa pasukan terkemuka dunia seperti Manchester United, Arsenal, Manchester City, Liverpool dan Chelsea. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top