Rakyat jijik dengan politik fitnah pembangkang - Syed Ali

KUALA LUMPUR: Perjuangan politik bersandarkan unsur fitnah dan adu domba tidak akan menjanjikan sebarang kemenangan.

Sebaliknya tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, walaupun ada segelintir yang terpedaya dengan fitnah tetapi majoriti rakyat akan mencemuh dan memandang jijik perbuatan tersebut.

"Sebenarnya pelaku fitnah dan orang yang suka adu domba adalah manusia tidak bermoral dan tidak memiliki ciri mulia selaku pemimpin.

"Iktibarnya daripada perbuatan fitnah itu dapat disaksikan bila blok pembangkang tetap gagal menawan Putrajaya.

"Dengan menabur fitnah dan mencerca pemimpin UMNO, mereka terlalu yakin rakyat akan mendapat sokongan dan seterusnya menguasai Putrajaya," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: Calon diri jadi PM: Rakyat perlu tolak pemimpin syok sendiri - PM Najib

BACA: Salleh selar pembangkang lancarkan kempen anti-Rosmah

Katanya, sebelum PRU ke-13 pelbagai fitnah, adu domba, persepsi jahat dan tohmahan berbau hasutan disebarkan menerusi media sosial memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Rakyat banyak disogokkan dengan unsur fitnah keterlaluan di samping mencerca kepimpinan Najib dan keluarga.

"Mereka (pembangkang) memberi gambaran kononnya Barisan Nasional (BN) akan kecundang.

"Tetapi terbukti rakyat tidak akan bersekongkol dengan parti politik yang mengamalkan budaya fitnah, adu domba dan bersangka jahat," ujarnya.

Sebaliknya jelas beliau, rakyat tetap memberikan kemenangan kepada UMNO dan BN membentuk kerajaan dengan Najib kekal selaku Perdana Menteri.

Lagipun tegas Syed Ali, perbuatan tersebut termasuk melaga-lagakan sesama pemimpin amat ditegah dalam ajaran Islam.

"Perbuatan memfitnah dan melakukan adu domba boleh mencetuskan rasa kurang tenteram dalam sesebuah masyarakat.

"Implikasinya amat besar kerana ianya boleh menggugat kestabilan negara dan menjejaskan perpaduan rakyat," ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau, pembangkang sekali lagi melakukan perbuatan fitnah dan adu domba kerana PRU ke-14 semakin hampir.

"Mengaktfkan semula isu fitnah termasuk yang dikitar semula merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab dan rakyat perlu menolaknya," jelasnya.

Beliau menyebut contoh isu saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan 1MDB dan fitnah terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dikitar semula.

Isu tersebut jelas beliau, sudah bertahun difitnahkan terhadap Najib dan keluarga tetapi sampai sekarang ianya sekadar fitnah.

"Rakyat tidak akan mudah mempercayai cerita-cerita pembohongan pembangkang kerana Pakatan Harapan berbuat demikian kerana menagih kuasa.

"Pakatan pembangkang terpaksa berbohong, menjaja fitnah dan menyebar propaganda murahan dalam usaha terdesak mereka untuk memenangi pilihan raya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa kerana kalangan pembangkang memihak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai bakal Perdana Menteri.

Menurut beliau, sebelum ini kalangan pemimpin Pakatan Harapan terutama DAP dan PKR menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri jika mereka memenangi PRU-14.

"Tetapi yang terbaru, difahamkan ada pula kalangan mereka mahukan Dr Mahathir jika mereka menguasai Putrajaya," katanya.

Perkembangan itu kata beliau, memberi isyarat awal bahawa Pakatan Harapan kini sedang bergelora dan mengalami keretakan sebelum PRU-14.

"Seperti Pakatan Rakyat yang hancur lebur dan diganti dengan Pakatan Harapan, ia tidak ke mana dan bakal berakhir dengan kehancuran untuk kali kedua," tegasnya.

Menurut Syed Ali, harapan pembangkang menawan Putrajaya sekadar angan-angan dan tidak akan kesampaian kerana rakyat terutama orang Melayu tetap menyokong perjuangan UMNO.

Katanya, UMNO tetap relevan kerana perjuangannya tidak pernah tersasar untuk membela nasib dan masa depan orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

Scroll to top