Remaja Risau Tiada Katil Khas Di Rumah

KOTA BHARU – Nik Mohamad Firdaus Nik Yusri, 17, yang menjalani pembedahan tulang belakang hampir dua bulan lepas bingung memikirkan keadaan dirinya yang tidak mempunyai katil khas di rumah apabila keluar hospital hujung bulan ini.

Remaja itu yang menghidap sakit saraf sejak 2014 dan menjalani pembedahan pada 19 April lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini hanya mampu terbaring.

Bapanya Yusri Abu Bakar, 46, dan ibunya Amelia Abdullah, 45, yang bekerja sebagai tukang sapu tidak mampu untuk membeli katil khas itu.

“Saya sebenarnya menghidap penyakit saraf sejak 2014 dan hanya mengetahui tentang ketumbuhan di bahagian tulang belakang pada tahun ini.

“Akibat penyakit saraf saya sudah dua tahun tidak boleh berjalan malah berat badan saya hanya 30 kilogram sahaja, ” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan dan sumbangan raya daripada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Wad Satu Selatan HUSM di sini, hari inj.

Nik Mohamad Firdaus amat berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat menyegerakan bantuan katil khas yang diperlukannya itu.

“Selain itu, saya juga berharap ada pihak lain yang sudi membantu kerana perbelanjaan bagi diri saya agak membebankan keluarga, ” kata anak ketiga daripada enam beradik dari Kota Jembal di sini.

Sementara itu, Ahmad berkata sumbangan raya kepada pesakit di HUSM adalah sebagai menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap individu yang terpaksa beraya di katil hospital akibat pelbagai penyakit atau kemalangan.

Selain itu, katanya pengorbanan kakitangan hospital yang bekerja ketika umat Islam menyambut hari raya juga perlu dihargai.

“Pemberian sumbangan ini adalah acara tahunan kerajaan negeri di mana pesakit akan diraikan agar dapat menyambut raya.

“Kaedah ini juga diharap dapat memberi kekuatan kepada pesakit yang sedang bertarung melawan penyakit yang dihadapi,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top