Teliti Berita Di Media Sosial Sebelum Beri Reaksi

DENGKIL – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan budaya fitnah dan meneliti sesuatu berita atau isu di media sosial dengan mendalam sebelum memberi reaksi agar keharmonian dan keamanan terus terpelihara.

Bertitah merasmikan Masjid Al-Ilmi Kampung Datuk Ahmad Razali di sini hari ini, baginda mengingatkan umat Islam bahawa gejala fitnahya akan merosakkan masyarakat dan meruntuhkan sesebuah negara jika ia tidak dibendung.

“Dalam arus permodenan masa kini, media-media sosial memainkan peranan utama dalam penyebaran berita yang tidak terhad dari segenap sudut.

“Berita-berita palsu yang sengaja diada-adakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab juga mudah tersebar luas dan mempengaruhi orang ramai untuk mempercayai dan bertindak balas,” titah Sultan Sharafuddin.

Baginda turut menyeru umat Islam di negeri Selangor supaya menuntut ilmu agama daripada guru-guru yang bertauliah supaya tidak sesat atau terpengaruh dengan ajaran yang esktrem dan menyokong keganasan.

“Beta berasa kecewa ada antara umat Islam yang sanggup meninggalkan saudara dan keluarga semata-mata untuk menyertai aktiviti keganasan di luar negara dan lebih teruk lagi mereka ini mempengaruhi umat Islam di Malaysia untuk menyertai mereka dalam perjuangan yang sia-sia ini,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menyeru ahli perniagaan Islam yang membuat urus niaga dan melabur di Selangor supaya membayar zakat harta mereka kepada Lembaga Zakat Negeri Selangor.

“Ini adalah kerana para ulama bersependapat bahawa zakat harta atau zakat perniagaan mesti dikeluarkan di negeri di mana harta itu diusahakan sama ada hasil kilang, kebun, rumah sewa atau lain-lain.

“Oleh itu ahli-ahli perniagaan Islam yang memperolehi harta dan keuntungan di negeri Selangor tetapi membayar zakat perniagaannya di negeri lain semata-mata untuk mendapatkan populariti adalah melanggar peraturan zakat harta,” titah baginda.

Pada majlis hari ini Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan bantuan kepada 210 asnaf dan fakir miskin serta 104 mualaf dari kawasan Dengkil selain berbuka puasa bersama rakyat. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top