Terminal Feri Tumpuan Warga Indonesia Pulang Beraya

BAGAN DATUK – Kira-kira 1,000 warga Indonesia bertumpu di Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang di sini hari ini bagi menaiki feri untuk pulang ke kampung halaman mereka bagi menyambut Hari Lebaran.

Feri akan menurunkan penumpang di Pelabuhan Teluk Nibung di Tanjung Balai, Sumatera Utara dengan masa perjalanan sehingga lima jam dengan tambang sekitar RM220 seorang, tidak termasuk caj barang serta cukai jeti.
Yang turut bersesak-sesak di jeti ialah rakyat tempatan Siti Jutiah Ahmad Nawawi, 23, yang akan menyambut lebaran bersama keluarga sebelah ibunya Yuliani, 46, pemegang taraf penduduk tetap (PR) Malaysia.

“Saya, ibu dan dua adik saya akan menyambut syawal di Pengkalan Brandan, Sumatera Utara selama seminggu,” katanya yang tinggal di Ipoh.

Untuk buah tangan bagi keluarganya di sana, Siti Jutiah tidak lupa membawa balik bersama bahan minuman ‘milo’ yang menurutnya merupakan amat digemari di tanah seberang.

“Rasa air milo buatan Malaysia lebih sedap dan harganya dikira masih murah berbanding milo buatan sana. Tidak hairanlah ramai warga Indonesia yang pulang mesti akan membawa beberapa paket milo bersama mereka sebagai ole-ole,” katanya.

Bagi Suparjo Rustam, 62, yang bekerja di Klang, Selangor, menyambut 1 Syawal di tempat sendiri lebih bermakna selepas beliau meninggalkan keluarga untuk sekian lama bagi mencari rezeki di Malaysia.

Ditanya mengapa dia tidak menggunakan Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga di Pelabuhan Klang, dia berkata menaiki feri di Terminal Hutan Melintang lebih selesa dan tidak sesak.

“Saya lebih rela datang ke sini yang mengambil masa kira-kira tiga jam daripada bersesak-sesak. Orang tua macam saya sudah tidak boleh berdiri lama dan bersesak-sesak,” katanya.

Pekerja ladang Eddy Shahputra dan Pahluis Lubis dari Sumatera Utara berkata Aidilfitri merupakan waktu terbaik untuk mereka pulang melawat saudara-mara dan sahabat handai bagi memohon maaf.

Bagimanapun Pegawai Keselamatan Kemudahan Pelabuhan (MFSO), Abdul Aziz Shukor berkata Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang mencatat penurunan jumlah penumpang hampir 90 peratus kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Mengikut statistik daripada Januari hingga Jun 2016, kemasukan warga asing menggunakan lokasi ini adalah sekitar 39,000 orang, tapi dalam tempoh yang sama tahun ini, kita catat hanya sekitar 3,000 orang.

“Lazimnya mereka akan bersesak-sesak untuk pulang pada saat akhir. Tapi tahun ini lain pula ceritanya,” katanya dan menambah operasi di terminal itu akan ditutup mulai esok sehingga 2 Julai.

Beliau berkata antara sebabnya penurunan jumlah pengguna mungkin berpunca daripada feri yang datang dari Tanjung Balai tidak mengikut jadual perjalanan sehingga menyebabkan penumpang beralih ke terminal lain.

Feri ke Tanjung Balai berlepas setiap Selasa, Khamis dan Sabtu manakala ketibaan feri dari sana ialah pada Isnin, Rabu dan Jumaat.

Delegasi kedutaan Indonesia di negara ini yang diketuai Kaunselor Menteri Informasi, Sosial dan Kebudayaan, Trigustono Supriyanto turut meninjau keadaan di jeti itu hari ini. – BERNAMA

Loading...

Scroll to top