Tiada makanan, lelaki Orang Asli tetak mati nenek lepas cederakan isteri dan bapa mentua

LELAKI Orang Asli bertindak menetak mati nenek selain mencederakan isterinya dan bapa mentua dalam kejadian di Kampung Pagar, Kuala Lipis, Lipis, semalam.

Tiada makanan, lelaki Orang Asli tetak mati nenek lepas cederakan isteri dan bapa mentua

Tiada makanan, lelaki Orang Asli tetak mati nenek lepas cederakan isteri dan bapa mentua

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, suspek berusia 32 tahun dikatakan mengalami gangguan mental sebelum menetak mati neneknya berusia 76 tahun yang cuba membawanya berjumpa tok batin bagi menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, siasatan mendapati suspek terlebih dulu mencederakan muka isterinya berusia 21 tahun menggunakan bara api di rumah kakaknya sebelum ke kediaman nenek untuk meminta makanan.

“Apabila mangsa memberitahu tiada makanan dan ingin membawa suspek ke rumah tok batin untuk menerima rawatan, lelaki itu terus mengambil parang di dalam rumah warga emas berkenaan dan menetak leher mangsa.

“Akibat tetakan itu mangsa rebah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian pulang dan berlaku pergelutan di antara dia dengan bapa mentua menyebabkan lelaki berusia 56 tahun itu cedera ditetak di belakang badan dan leher.

Azry Akmar berkata, suspek berjaya ditangkap hasil bantuan seorang lelaki yang menyaksikan pergelutan itu.

“Suspek diikat sementara menunggu kehadiran polis. Dia ditahan 3.50 petang semalam dan kini siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Metro

Loading...
Scroll to top