(Video) Jam Loceng Terlekat Dalam Dinding Rumahnya, Berbunyi Setiap Hari Sejak 13 Tahun Lalu

Setiap hari, pemilik sebuah rumah di Pennsylvania akan ‘diingatkan’ tentang kesilapan yang dibuat pada 13 tahun lepas. Pada sekitar jam 8 malam setiap hari, rumahnya yang tenang akan diserikan dengan bunyi jam loceng yang terlekat dalam dinding selepas dia membuat kesilapan menjatuhkan jam itu dalam satu lubang 13 tahun lalu. Sejak dari itu, hidup Jerry Lynn ‘dihantui’ oleh bunyi loceng tersebut.
Menerusi satu temuramah oleh KDKA, Jerry berkata semuanya bermula ketika dia mahu membuat lubang di dinding di ruang tamu rumahnya supaya dapat menyembunyikan kabel televisyen.

Disebabkan tidak mahu merosakkan mana-mana paip atau wayar di dinding, Jerry tampil dengan idea yang sangat bernas. Dia mengambil jam loceng lalu mengikatnya pada tali sebelum memprogramkannya supaya berbunyi dalam masa 10 minit.

Kemudian, Jerry menurunkan jam terbabit menerusi lohong udara dan menunggu jam tersebut berbunyi. Ideanya adalah untuk mengorek kawasan yang berbunyi kuat – memandangkan kawasan itu sudah tentu tidak mempunyai sebarang objek halangan.

Semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah bunyi ‘thuk’ berbunyi.

“Ketika saya sedang menunggu, tiba-tiba ada bunyi ‘thuk!’ kerana tali itu sudah longgar. Saya rasa ia bukan satu masalah besar. ”

Jerry cuba untuk mengambil semula jam loceng itu, tapi gagal. Tapi, memikirkan jam itu mungkin akan habis bateri dalam masa tiga ke empat bulan, dia tidak risau sangat.

Namun, 13 tahun selepas itu, jam terbabit masih berbunyi tepat jam 8.10 malam setiap hari.

Bagaimanapun, Jerry dan isterinya sudah biasa dengan bunyi terbabit sehingga membuat lawak dengan tetamu-tetamu baharu yang terkejut.

Scroll to top