1,600 Pegawai JKM Diberi Kuasa Keluar EPO

PUTRAJAYA – Kira-kira 1,600 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan diberi kuasa untuk mengeluarkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) bagi memberi pelindungan segera kepada mangsa keganasan rumah tangga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata ia adalah antara lima pembaharuan yang akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Keganasan Rumah Tangga 1994 (Pindaan) 2017 yang dijangka dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen akan datang.

Melalui pindaan itu, katanya pegawai bertauliah itu diberi kuasa Ketua Pengarah JKM untuk mengeluarkan perintah sementara ex-parte yang berkuat kuasa seminggu kepada mangsa keganasan rumah tangga yang dalam keadaan kecemasan.

“Kini semua pegawai JKM ini sedang dan telah menjalani kursus pemantapan. Kementerian mahu semua pegawai JKM di lapangan adalah yang terlatih.

“Perkhidmatan ini disediakan untuk memberi pelindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat mengenai Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 kepada pengamal media di sini hari ini.

Rohani berkata EPO itu akan memberikan pelindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga untuk menghalang si pelaku daripada mencederakan mangsa, menghasut orang lain untuk melakukan keganasan rumah tangga dan juga malarang pelaku memasuki tempat selamat, tempat berlindung, tempat kediaman, kediaman bersama atau kediaman alternatif.

“Ketika ini mangsa hanya boleh mendapatkan perintah perlindungan interim (IPO) dan perintah perlindungan daripada mahkamah namun banyak aduan keganasan rumah tanggan berlaku pada hujung minggu dan menyebabkan mangsa tidak boleh mendapatkan perintah tersebut pada kadar segera dan terpaksa menunggu mahkamah beroperasi,” katanya.

Beliau berkata EPO yang berkuat kuasa untuk tempoh seminggu dan jika ia dilanggar oleh pelaku dengan menggunakan keganasan ke atas orang yang dilindungi boleh didenda RM4,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebih satu tahun atau kedua-duanya.

Beliau menambah bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang memberi keterangan palsu mengikut Kanun Keseksaan 181 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan boleh dikenakan denda.

Rohani berkata mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapatkan EPO sama ada datang terus ke pejabat jabatan atau boleh menghubungi talian Nur yang beroperasi 24 jam.

Dengan itu, katanya pelaku akan diminta untuk keluar dari rumah tersebut dan tidak boleh tinggal serumah selama seminggu.

Ditanya kemungkinan lebih ramai mangsa keganasan rumah tangga akan tampil untuk mendapatkan perlindungan, beliau berkata “kita bersedia untuk menghadapinya”.

Rohani berkata pindaan RUU Keganasan Rumah Tangga untuk mempertingkatkan perlindungan kepada mangsa dan membantu memulihkan institusi kekeluargaan.

Selain EPO, beliau berkata pindaan lain termasuk peluasan tafsiran keganasan rumah tangga, memberi hak pengasingan kediaman atau penghunian ekslusif kepada mangsa, penambahbaikan perintah IPO dan PO serta memperkenalkan program pemulihan.

Statistik Polis Diraja Malaysia dari 2014 hingga 2016 menunjukkan sebanyak 15,617 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan termasuk 26 peratus membabitkan mangsa lelaki. – BERNAMA

Loading...