2 Lagi Pemimpin Republikan Tolak Rang Undang-Undang

WASHINGTON – Rang undang-undang penjagaan kesihatan baharu yang dicadangkan Republikan bagi menggantikan Obamacare sekali lagi menerima tamparan, kali ini, ia ditolak dua lagi pemimpin Republikan sendiri.

Menurut agensi berita Xinhua, Senator Republikan Kansas Jerry Moran dan Senator Republikan Utah Mike Lee mengeluarkan kenyataan media berasingan pada Isnin yang menegaskan mereka tidak akan menyokong rang undang-undang penjagaan kesihatan itu.

Selain Moran dan Lee, beberapa lagi pemimpin Republikan membantah rang undang-undang penjagaan kesihatan tersebut, termasuk Susan Collins dari Maine dan Rand Paul dari Kentucky yang menentang Akta Penjagaan Kesihatan Baru (BCRA) yang dirangka untuk memansuh dan menggantikan Akta Penjagaan Mampu (ACA), atau dikenali sebagai Obamacare.

“Dasar yang teruk tidak sepatutnya disokong,” demikian kata Moran dalam kenyataan itu, sekaligus mendesak ia dirangka semula menerusi ‘proses perundangan terbuka’.

“Sekiranya keputusan berkaitan penjagaan kesihatan harian diserahkan kepada kerajaan persekutuan sepenuhnya, besar kemungkinan sistem penjagaan kesihatan kita akan berubah menjadi sistem bayaran tunggal yang memerlukan peruntukan perbelanjaan persekutuan yang lebih besar,” kata Moran.

Sementara itu, menurut Lee pula, BCRA tidak dirangka untuk mengurangkan bayaran premium bagi keluarga kelas pertengahan dan tidak terlalu berbeza daripada Obamacare yang lebih mahal. – BERNAMA

Loading...