35% Aduan Selesai Enam Bulan Pertama – Suhakam

PEKAN – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berjaya menyelesaikan sebanyak 35 peratus daripada 330 aduan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata pengerusinya Tan Sri Razali Ismail.

Beliau berkata antara aduan yang diterima melibatkan isu kewarganegaraan dan kematian tahanan dalam lokap dengan aduan paling banyak direkodkan di Kuala Lumpur iaitu 157 kes, Sabah (143) dan 30 kes dari Sarawak.

“Pada tahun lalu pula, sebanyak 879 aduan diterima dan sebahagiannya telah selesai dan Suhakam juga ada menjalankan 24 siasatan di lapangan bersama agensi yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Suhakam Bersama Masyarakat Pekan, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga menerima 350 kes yang berada di luar bidang kuasa mereka tetapi pihaknya membantu merujuk aduan itu kepada pihak yang berkaitan.

Program tersebut dihadiri 300 peserta meliputi ketua jabatan, pemimpin setempat dan orang awam. – BERNAMA

Loading...