Air Bersih Di RKT Kesedar Chalil Awal Tahun Depan

GUA MUSANG – Masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Chalil di sini  sejak 30 tahun lepas, bakal diatasi melalui projek khas bernilai RM4.8 juta awal tahun depan.

Timbalan Pengerusi Kesedar Datuk Nozula Mat Diah berkata projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi menaik taraf kemudahan bekalan air bersih itu sedang dijalankan dan dijangka siap awal tahun depan bagi kemudahan 1,500 penduduk sekitar.

“Projek ini bermula Mac lepas setelah penduduk merayu supaya kerajaan mempercepat usaha untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang sering terputus (ketika kemarau) selain kualiti air berkeladak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek berkenaan hari ini.

Menurutnya projek itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf semua saluran paip air ke rumah penduduk dan membina tangki baharu yang lebih besar untuk menampung keperluan jangka panjang.

Beliau berkata kawasan RKT Kesedar itu tidak mendapat bekalan air yang disediakan oleh syarikat Air Kelantan Sdn Bhd sebaliknya bergantung kepada sumber air takungan dari kawasan berbukit berhampiran.

“Walaupun (selepas ini)  sumber air masih bergantung kepada tadahan air yang mengalir dari kawasan berbukit, namun air itu akan diproses terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Norzula berkata pihaknya akan memastikan sumber air yang digunakan itu mempunyai kualiti air yang terjamin dari aspek kebersihan dan kesihatan. – BERNAMA

Loading...