“Babak Intim Tidak Keterlaluan” – Aaron Aziz

“Babak Intim Tidak Keterlaluan” – Aaron Aziz

Anggap Izara seperti adik. (Gambar: Instagram @aarondwiaziz)

Kali pertama bergandingan dengan Izara Aishah, aktor kelahiran Singapura yang menempa nama di negara kita mengakui pelakon jelita itu mempunyai bakat besar. Malah tidak melihat perbezaan usia mereka sebagai masalah untuk melakonkan babak romantik dan intim menerusi filem Kau Yang Satu arahan Osman Ali.

Filem yang diterbitkan bersama Astro Shaw, Global Station dan Nuansa itu akan menemui penonton di pawagam mulai 27 Julai ini. Selepas membuktikan keserasian dengan pelakon seperti Lisa Surihani dan Siti Saleha sebelum ini, Aaron dilihat terus relevan sebagai hero sekalipun usianya kini menjangkau 41 tahun.

Bengkel lakonan bersama Elly Suriaty banyak membantu.

“Secara jujurnya saya melihat Izara sebagai adik. Peliklah kalau nak bayangkan dia sebagai adik, namun di atas pentas lakonan dalam filem ini kami perlu bercinta dan ada babak romantik. Mujur bengkel lakonan yang diketuai Ellie Suriaty banyak membantu kami mengurangkan perasaan abang adik itu.

“Izara saya puji bakat lakonannya dan she did her very best. Kelebihan bengkel itu membuka ruang untuk saya dan Izara yang masing masing memegang watak Taufik dan Salina membuang jauh rasa janggal yang ada.

“Jadi apabila kami memulakan penggambaran baik saya dan dia, sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Kejanggalan dan kelemahan serta perasaan segan yang ada sudah diperbaiki semasa menghadiri bengkel itu,” katanya.

Babak intim tidak keterlaluan.

Pelakon filem Ombak Rindu itu juga menyifatkan babak intim yang perlu dilakonkan membabitkan Izara dan juga Soo Wincci tidak keterlaluan.

“Batasan masih ada. Tak adalah babak intim yang melampaui batas pun hingga perlu berbaring di atas pelakon gandingan. Saya pun tak pernah buat aksi sebegitu dalam lakonan.

“Sekalipun ada banyak babak yang dilihat cukup intim, tetapi ia tidaklah melampau seperti dalam filem Hollywood, sebaliknya masih sesuai untuk tontonan orang Timur. Teknik penggunaan sudut kamera juga penting bagi memberi gambaran terhadap sesuatu babak yang dilakonkan, supaya melepasi suntingan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Perlu profesional kita berlakon.

“Sebagai pelakon juga, ada teknik tersendiri dilakukan bagi menjayakan adegan berpeluk. Kita tidak mengambil kesempatan terhadap pelakon wanita, sebaliknya bersikap profesional dalam lakonan,” kata suami kepada Diyana Halik itu.

Dalam pada itu melihat usianya kini, Aaron juga tidak ada masalah melakonkan watak bapa dalam kerja lakonnya. Namun watak bapa itu haruslah berdiri dengan syarat tersendiri.

“Saya cuba untuk bersikap lebih selektif terhadap watak yang dipegang. Ia bukannya sekadar watak yang ringan, sebaliknya mampu meninggalkan kesan kepada khalayak. Bukan sekadar asal boleh saja.

Hisyam Hamid turut berlakon.

“Ikutkan ketika ini sebenarnya saya sudah mula mengelak daripada menerima watak yang dilihat terlalu muda, namun tidaklah terlalu tua. Saya cuba mencari watak dalam lingkungan usia yang sesuai dengan umur sekarang,” katanya.

Filem Kau Yang Satu turut dibintangi Hisyam Hamid, Soo Wincci, Amyra Rosli, Rosnah Johari, Wan Hanafi Su dan Zaidi Omar.