Cadang Diskaun Perbaharui Lesen Perniagaan Golongan Mahasiswa

KUALA LUMPUR – Seorang mahasiswa hari ini mencadangkan kepada kerajaan agar memberikan diskaun bayaran memperbaharui pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada golongan mahasiswa yang masih belajar.

Nadrah Nazim daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata cadangan itu bagi mengurangkan beban kewangan mahasiswa dan menggalakkan lebih ramai golongan tersebut terlibat dalam bidang perniagaan.

“Saya ingin mencadangkan agar pelajar  diberi  diskaun 50 peratus untuk memperbaharui pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun kedua berniaga dan 20 peratus untuk tahun ketiga berniaga selagi pelajar masih dalam tempoh pengajian,” katanya ketika membahaskan usul pada program Parlimen Mahasiswa di sini hari ini.

Usul itu yang dibawa oleh Mohd Amar Md Hilmi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) antara lain meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperhebatkan usaha secara kolektif dalam membangunkan ekosistem inovasi pendidikan tinggi yang memberi tumpuan kepada keberhasilan yang melebihi input seiring dengan usaha mereka.

Nadrah berkata langkah memberikan keistimewaan itu juga bagi meningkatkan minat mahasiswa terlibat dalam perniagaan dan yakin dengan kemampuan mereka dalam meneruskan kelangsungan syarikat setiap tahun.

Katanya walaupun terdapat skim 1 murid 1 perniagaan’’ iaitu pelajar boleh mendaftarkan perniagaan secara percuma pada tahun pertama, namun caj untuk memperbaharui lesen bagi tahun berikutnya tetap menjadi beban kepada mereka yang masih bergelar mahasiswa.

“Keistimewaan tersebut perlu kerana dalam aspek keusahawanan, pelajar berdepan dengan cabaran membahagi masa antara belajar, berniaga dan mengikuti program di institusi pengajian tinggi kerana masih baru bermula secara kecil-kecilan dengan pendapatan yang minimum.

Berdasarkan data tidak rasmi KPT, katanya, rata-rata pelajar yang berniaga mempunyai pendapatan sekitar RM500 sehingga RM5,000 maksimum sebulan dan kebanyakan hasil perniagaan itu digunakan untuk pembiayaan yuran dan bahan pembelajaran.

Malahan ada antara mereka yang sudah menanggung keluarga dan sebagainya, katanya.

Nadrah berkata statistik KPT pada masa sekarang ialah hanya 2.5 peratus pelajar daripada tiga peratus pelajar yang berniaga berdaftar melalui ‘skim 1 murid satu perniagaan’, sedangkan sasaran KPT pada awalnya ialah sekurang-kurangnya enam peratus pelajar yang menjadi usahawan, menunjukkan bahawa sasaran belum dapat dicapai sepenuhnya. – BERNAMA

Loading...